TheMalaysiaTime

Polis siasat Zamri Vinoth berhubung video Tik Tok

2026-03-10 - 10:04

Penceramah bebas Zamri Vinoth mendakwa dia diugut dan kenderaannya dirosakkan di Bukit Mertajam pada 7 Mac. GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang sedang menyiasat penceramah bebas Zamri Vinoth yang didakwa membuat kenyataan berbentuk ugutan, provokatif, menghina serta berunsur perkauman menerusi video siaran langsung di Tik Tok. Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail, berkata siasatan itu dijalankan susulan satu laporan polis yang dibuat pada 8 Mac berhubung video tersebut. Katanya, Zamri disiasat atas kemungkinan kesalahan hasutan, penghinaan dengan niat mencetuskan gangguan ketenteraman awam, serta penyalahgunaan dalam talian. Dalam satu kenyataan, Azizee memberi amaran kepada orang ramai agar tidak membuat kenyataan atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, kandungan provokatif atau spekulasi yang boleh mencetuskan permusuhan antara kaum atau kumpulan. Menurutnya, polis memandang serius perkara itu kerana mahu memastikan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia serta mengekalkan ketenteraman awam. Dalam perkembangan berasingan, Azizee berkata polis menahan empat lagi lelaki di Bukit Mertajam kira-kira 2.30 pagi tadi bagi membantu siasatan berhubung insiden melibatkan dakwaan serangan terhadap Zamri. Zamri mendakwa dia diugut dan kenderaannya dirosakkan di Bukit Mertajam pada 7 Mac. Penahanan empat suspek berumur antara 29 hingga 31 tahun itu menjadikan jumlah tangkapan dalam kes tersebut kini enam orang. Kes itu disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 427 kerana melakukan khianat. Azizee berkata semua suspek telah direman selama dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan.

Share this post: