Polis sahkan insiden tembakan libat dua lelaki bermotosikal di Klang
2026-03-05 - 05:33
Tular di media sosial seorang lelaki dalam keadaan terbaring dan turut kelihatan pasukan polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian di Taman Sri Kapar, Klang. SHAH ALAM: Polis mengesahkan insiden membabitkan dua lelaki bermotosikal yang melepaskan tembakan ke arah seorang pemandu lori di Taman Sri Kapar, Klang, pagi tadi. Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata kejadian berlaku antara 9 hingga 9.30 pagi, namun siasatan lanjut masih dijalankan di lokasi. “Saya boleh mengesahkan kejadian melibatkan dua lelaki bermotosikal yang melepaskan tembakan ke atas seorang pemandu lori,” katanya pada sidang media. Shazeli menambah, rempuhan oleh sebuah kenderaan lain yang menyaksikan kejadian menyebabkan kedua-dua suspek cedera. “Kedua-dua suspek disahkan cedera dan kini berada dalam kawalan pihak polis,” katanya. Beliau menjelaskan identiti suspek dan butiran lanjut termasuk motif kejadian masih belum dapat disahkan kerana pasukan penyiasat serta forensik masih berada di lokasi. “Saya tidak boleh mengulas lanjut buat masa ini kerana pegawai penyiasat masih menjalankan siasatan di lapangan,” katanya. Polis dijangka mengeluarkan kenyataan lanjut selepas siasatan awal selesai. Terdahulu, tular di media sosial seorang lelaki dalam keadaan terbaring dan turut kelihatan pasukan polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.