Polis rakam keterangan pelakon dakwa diserang seksual pengarah drama
2026-02-02 - 09:06
Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus, berkata belum ada tangkapan dibuat dengan kes disiasat di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Polis sudah merakam keterangan pelakon lelaki yang mendakwa menjadi mangsa seksual pengarah drama, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus. Katanya, lelaki berusia 35 tahun itu dirakam percakapannya semalam susulan kejadian dikatakan berlaku pada 2005. “Setakat ini belum ada tangkapan dibuat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan,” katanya menurut Berita Harian. Semalam, polis mengesahkan menerima laporan daripada pelakon berkenan yang menjadi mangsa serangan seksual. Pelakon itu melalui Threads, mendedahkan pernah melalui detik silam ketika kanak-kanak apabila menjadi mangsa gangguan seksual. Semalam, pelakon berkenaan, Alqal Sahar, berharap siasatan yang telus dijalankan oleh pihak berkuasa berhubung dakwaan dia diserang secara seksual ketika remaja. Alqal bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu dan memberi ruang siasatan dijalankan pihak berkuasa. Alqal yang pernah tampil dalam beberapa drama popular di televisyen, antaranya Diari Ramadhan Rafique, mendedahkan perkara itu di laman Threads.