Polis rakam keterangan 3 individu berkait dakwaan jatuhkan kerajaan
2026-03-06 - 09:24
Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail berkata beberapa individu lain juga dikenal pasti untuk dirakam keterangan. (Gambar Bernama) KUALA LUMPUR: Polis merakam keterangan tiga individu berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan. Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail, berkata beberapa individu lain juga dikenal pasti untuk dirakam keterangan berdasarkan maklumat diperoleh setakat ini. “Sehingga hari ini, kita telah mengambil tiga kenyataan daripada individu-individu yang berkaitan dan kita akan meneruskan lagi tindakan mengambil kenyataan ini berdasarkan maklumat yang diperoleh,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman. Beliau berkata, siasatan masih di peringkat awal dan turut melibatkan penelitian terhadap kemungkinan kaitan pihak luar. “Setakat ini kita tidak ada apa-apa kaitan lagi. Kita masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya. Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan mendedahkan wujud cubaan menggugat kerajaan yang didakwa melibatkan usaha mempengaruhi media dan institusi antarabangsa. Polis berkata, siasatan akan diteruskan bagi mengenal pasti sebarang elemen yang boleh menjejaskan keselamatan dan kestabilan negara.