Polis nasihat penganjur batal perhimpunan isu kuil di Bukit Mertajam
2026-03-04 - 06:34
Ketua Polis Pulau Pinang Azizee Ismail berkata pihak berkuasa tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya terhadap penganjur berkenaan. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Polis Pulau Pinang menasihatkan supaya rancangan pihak tertentu mengadakan perhimpunan pada Sabtu ini dibatalkan sebagai menghormati kesucian Ramadan dan menjaga ketenteraman awam. Ketua Polis Negeri, Azizee Ismail berkata, pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap penganjur berkenaan. “Kami menasihatkan agar cadangan perhimpunan itu dibatalkan demi memelihara kesucian bulan mulia Ramadan dan mengekalkan keamanan serta ketenteraman awam di Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi, menurut Harian Metro. Terdahulu, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer membuat satu laporan polis berhubung satu hantaran Facebook yang mendakwa terdapat rancangan untuk merobohkan sebuah kuil Hindu di hadapan Hospital Bukit Mertajam. Beliau yang juga pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang mendakwa pendakwah bebas Zamri Vinoth telah memuat naik kandungan bersifat provokasi yang mampu mencetuskan ketegangan kaum dan agama. Menerusi hantara itu, ia didakwa dirancang pada 3 petang, 7 Mac ini. Azizee juga memaklumkan setakat ini pihak polis telah menerima tujuh laporan berhubung perkara itu.