Polis minta kerjasama antarabangsa dalam siasatan Bloomberg
2026-03-19 - 05:00
Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata tindakan seterusnya perlu dilakukan melalui saluran kerajaan dengan kerajaan atau agensi dengan agensi. (Gambar Bernama) KUALA LUMPUR: Siasatan polis melibatkan Bloomberg bakal diteruskan menerusi saluran antarabangsa susulan lawatan ke pejabat organisasi media itu di Menara Petronas baru-baru ini. Ketua Polis Negara, Khalid Ismail, berkata pihaknya bertemu beberapa kakitangan semasa lawatan tersebut, namun dimaklumkan bahawa individu yang dikaitkan dengan perkara itu berada di luar negara. “Sehubungan itu, tindakan seterusnya perlu dilakukan melalui saluran kerajaan dengan kerajaan atau agensi dengan agensi bagi mendapatkan kerjasama daripada pihak berkaitan,” katanya kepada pemberita. Pada 28 Feb, The Star melaporkan polis mengunjungi pejabat Bloomberg di Menara Petronas dan meminta untuk berjumpa Tom Redmond serta Niki Koswanage, yang menulis dua artikel yang diterbitkan bulan lalu. Artikel berkenaan memperincikan dakwaan salah guna kuasa dan pemerasan dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ia turut mendakwa bahawa satu rangkaian ahli perniagaan dan pegawai SPRM menggunakan serbuan serta siasatan untuk beri tekanan kepada eksekutif supaya menjual pegangan saham dalam syarikat yang disasarkan.