Polis kerjasama dengan Thailand kesan Zamri, Tamim
2026-03-14 - 10:24
Penceramah bebas Zamri Vinoth dan aktivis Tamim Dahri dikesan keluar dari negara ini melalui jalan sah ke Thailand, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar. KUALA LUMPUR: Pegawai perhubungan keselamatan polis di Thailand sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengesan penceramah bebas Zamri Vinoth dan aktivis Tamim Dahri yang dipercayai melarikan diri ke negara itu. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar, berkata polis sedang giat menjejaki kedua-dua individu terbabit bagi membawa mereka pulang untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah. “Pemeriksaan mendapati mereka dikesan keluar dari negara ini melalui jalan sah ke Thailand dan polis sedang menggunakan peruntukan undang-undang yang ada bagi membawa pulang mereka untuk dituduh,” katanya ketika dihubungi hari ini, menurut Bernama. Siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataannya pada perhimpunan di ibu negara pada 7 Feb lepas telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC). AGC kemudian mengeluarkan arahan pertuduhan melibatkan Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam. Selain itu, siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataan berbaur penghinaan terhadap kaum India telah dirujuk ke pejabat pendakwaan Pulau Pinang dan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948. Kertas siasatan melibatkan Tamim pula berhubung tindakan merosakkan soolam yang menjadi simbol suci bagi agama Hindu di tapak lama kuil di Langkawi, Kedah telah dirujuk ke pejabat pendakwaan Kedah dan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan. Sementara itu, Zamri menafikan dakwaan dia cuba melarikan diri, sebaliknya bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa jika diperlukan. Katanya, dia juga bersedia untuk bertemu dengan Ketua Polis Negara Khalid Ismail bagi menjelaskan perkara itu. “Saya sendiri akan pergi jumpa IGP jika perlu, insya-ALLAH... saya tak lari dan tiada keperluan pun untuk lari. “Kenapa hanya saya pula nak kena tuduh? Apa kesalahan saya? Apa yang saya hasut? “Tak ada pun orang kita yang pergi serang sesiapa. Tak ada pun pergi bakar kereta sesiapa dan tak ada pun pergi serang rumah sesiapa,” katanya di Facebook, menurut Sinar Harian. Dia mendakwa ada pihak lain yang turut menghasut sehingga berlakunya beberapa insiden keganasan, namun tidak berdepan sebarang pertuduhan. Tambahnya, jika dia didakwa, tindakan sama juga perlu diambil terhadap individu lain yang didakwa terlibat.