TheMalaysiaTime

Polis diarah utama siasatan setiap aduan komplot jatuhkan kerajaan, kata Saifuddin

2026-03-01 - 03:34

Saifuddin Nasution Ismail berkata proses siasatan kes ini masih berada di peringkat awal dan setiap aduan diterima akan menjadi asas penting bagi polis menentukan hala tuju siasatan. (Gambar Bernama) BACHOK: Polis diarah untuk memberikan keutamaan dan fokus sepenuhnya dalam membuka kertas siasatan bagi setiap aduan yang diterima berkaitan dakwaan wujud komplot untuk menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara. Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata ketetapan itu merupakan keputusan yang telah dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lepas, yang mengehendaki polis menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima sebarang bentuk aduan daripada mana-mana pihak. Beliau berkata proses siasatan telah mula digerakkan berikutan aduan yang diterima, selaras dengan kenyataan yang diumumkan oleh Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail berhubung kes itu baru-baru ini. “Proses siasatan kes ini masih berada di peringkat awal. Setiap aduan yang diterima akan menjadi asas penting bagi polis dalam menentukan hala tuju siasatan yang lebih terperinci. “Daripada aduan itu, ia memberikan asas kepada polis untuk menentukan hala tuju siasatan, termasuk menentukan di bawah seksyen dan peruntukan undang-undang apa kes ini akan disiasat,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan dakwaan cubaan untuk menjatuhkan kerajaan selepas menyantuni klien wanita AADK sempena Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Bersama Menteri Dalam Negeri di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik, di sini, awal pagi ini. Saifuddin berkata ia juga penting bagi mengenal pasti motif kejadian serta hasil akhir kepada sesuatu siasatan tersebut. Mohd Khalid sebelum ini dilaporkan berkata polis menerima laporan berhubung dakwaan gerakan yang melibatkan kerjasama antara seorang tokoh tempatan berpengaruh dengan sebuah agensi media antarabangsa pada Khamis. Siasatan kini dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan.

Share this post: