Polis buru individu provokasi anggota di Dataran Guchil
2026-03-22 - 09:21
Tangkap layar video memaparkan polis menahan penunggang motosikal cuba mengelak pemeriksaan, di Dataran Guchil semalam. PETALING JAYA: Polis sedang mengesan beberapa individu yang melakukan provokasi terhadap anggotanya, dan mengeluarkan kata-kata ancaman, dalam satu kejadian di Dataran Guchil, Kelantan. Ketua Polis Kuala Krai, Mazlan Mamat, berkata kejadian berlaku semalam ketika pihak berkuasa sedang menjalankan operasi pemantauan sempena Aidilfitri, sekitar jam 2 pagi. Polis pada mulanya mengesan tindakan sekumpulan pemandu kereta dan penunggang motosikal yang berlumba di antara lampu isyarat Batu Balai dan Guchil. “Semasa polis membuat pemeriksaan di Dataran Guchil, terdapat seorang penunggang motosikal terjatuh melanggar sebuah motosikal lain semasa mengelak dari pemeriksaan polis. “Seorang anggota dari Balai Polis Kuala Krai cuba menahan individu terbabit, namun berlaku pergelutan sehingga menyebabkan anggota berkenaan mengalami kecederaan,” menurut kenyataan. Susulan pergelutan, Mazlan berkata sekumpulan orang awam berkumpul dan mula mengganggu tugas polis. “Ada di antara mereka yang mengeluarkan kata-kata ancaman kepada polis berkenaan. Tindakan provokasi tersebut dipercayai telah mencetuskan ketegangan di lokasi kejadian,” katanya. Keadaan berjaya dikawal selepas polis mengambil pendekatan profesional dan berhemah bagi mengelakkan ketegangan meningkat. Menurut Mazlan, operasi yang berakhir pada 6 pagi itu menyaksikan tiga buah kereta dan motosikal masing-masing disita serta 34 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. “Dua orang tangkapan turut dibuat,” katanya. Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.