PN umum ketua pembangkang sebelum sidang Parlimen
2026-03-28 - 06:00
Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan berkata ketua pembangkang akan dipilih dalam kalangan Ahli Parlimen PAS. PETALING JAYA: Perikatan Nasional akan mengumumkan pelantikan ketua pembangkang yang baharu menggantikan Hamzah Zainudin sebelum akhir Mac atau persidangan Parlimen akan datang. Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, berkata pelantikan turut mengambil kira pandangan semua Ahli Parlimen gabungan itu. Katanya, ketua pembangkang juga akan dipilih dalam kalangan Ahli Parlimen PAS. “Ketua pembangkang akan dipilih daripada Ahli Parlimen PAS, untuk pemilihan ketua pembangkang, amalan biasa ia dibuat oleh parti-parti pembangkang yang ada. “Bila dibuat ketetapan, pandangan Ahli Parlimen diambil kira sebagaimana pelantikan Hamzah sebagai ketua pembangkang sebelum ini dibuat oleh PN dan dipersetujui oleh Ahli Parlimen,” katanya menurut Berita Harian. Pada 14 Mac lalu, Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar berkata gabungan sudah mempunyai calon pengganti Hamzah namun masih ada beberapa proses perlu dilalui di peringkat parti. Kedudukan Hamzah sebagai ketua pembangkang menjadi persoalan selepas beliau dipecat Bersatu pada 13 Feb lalu susulan krisis parti itu dan dakwaan mencabar Presiden Muhyiddin Yassin. Mesyuarat PN pada 19 Feb lalu turut memutuskan PAS mengambil alih jawatan itu namun Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul memaklumkan belum ada pemakluman mengenainya. Hamzah dilantik sebagai ketua pembangkang pada 2022 selepas kerajaan perpaduan dibentuk, susulan cadangan oleh PAS walaupun Muhyiddin memegang jawatan pengerusi PN ketika itu.