TheMalaysiaTime

PN masih ancaman utama jika BN tanding solo di Melaka, Johor

2026-03-08 - 23:24

Penganalisis berpendapat sekiranya BN bertanding secara solo, sokongannya akan berpecah dengan PH sekali gus beri kelebihan pada PN. PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) dan bukannya Pakatan Harapan (PH) yang akan menjadi pencabar utama kepada Barisan Nasional (BN) sekiranya gabungan itu memutuskan untuk bertanding dalam PRN Melaka dan Johor atas tiketnya sendiri, kata seorang pemerhati politik. Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata BN akan mempunyai kelebihan di kedua-dua negeri tersebut yang mengikut sejarah merupakan kubu kuat BN. Hisomuddin Bakar. “Pertandingan secara solo akan membolehkan BN menguji tahap penerimaan sebenar pengundi Melayu terhadap Umno tanpa dibebani oleh persepsi kerjasama dengan kerajaan perpaduan yang turut melibatkan DAP,” katanya. “Parti Melayu yang lain seperti Pejuang dan Berjasa tidak mempunyai pengaruh besar di kedua-dua negeri ini,” katanya, sambil menambah bahawa sokongan terhadap PH sebahagian besarnya kekal tertumpu di kawasan bandar. Bagaimanapun, PN kini berdepan isu dalaman, termasuk ketegangan antara rakan sekutu iaitu PAS dan Bersatu, serta isu kepimpinan dalam Bersatu. Jentera PAS di Melaka dan Johor juga tidak sekuat di negeri-negeri pantai timur dan utara, katanya. Cadangan BN bertanding PRN Melaka dan Johor secara solo disuarakan Presiden MCA, Wee Ka Siong pada 7 Mac lalu yang menyatakan bahawa adalah munasabah bagi gabungan tersebut untuk mendapatkan mandat baharu daripada pengundi. Azmi Hassan. Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara pula berpendapat undi BN akan berpecah dengan PH, sekali gus memberi kelebihan kepada PN sekiranya BN bergerak solo. “Namun, saya rasa Umno dan BN boleh berdiri atas kekuatan mereka sendiri di dua negeri ini,” katanya, meskipun BN kini lebih lemah berbanding pilihan raya lima tahun lalu. Azmi berkata pertikaian dengan PH mengenai pembahagian kerusi mungkin menjadi faktor di sebalik desakan agar BN bergerak solo. “Sebagai contoh, PH mahukan 14 kerusi di Melaka, yang saya katakan sebagai mustahil kerana Umno Melaka memenangi 21 kerusi pada PRN lalu. Menyerahkan tujuh kerusi kepada PH nampaknya sukar diterima oleh Umno,” katanya. BN kini menguasai 40 kerusi di DUN Johor dan 21 di DUN Melaka. PRN Melaka dijangka diadakan lewat tahun ini, walaupun penggal DUN hanya akan berakhir pada Feb tahun depan, manakala PRN Johor dijadualkan selewat-lewatnya pada pertengahan Jun 2027.

Share this post: