‘PN hanya ada RM2,700’, seloroh Sanusi
2026-03-18 - 08:51
Bendahari Agung PN Sanusi Nor mengingatkan parti tidak seharusnya bergantung kepada sumber kewangan yang meragukan atau menggunakan dana kerajaan untuk tujuan politik. PETALING JAYA: Bendahari agung Perikatan Nasional yang baharu Sanusi Nor memaklumkan sudah melaksanakan audit terhadap akaun gabungan itu bagi memastikan kedudukan kewangan diurus secara telus dan teratur. Katanya, usaha itu adalah langkah awal dilakukan selepas dilantik menjawat jawatan berkenaan susulan penstrukturan kepimpinan PN yang diumum Sabtu lalu. “Kita nak pastikan apa yang kita ada dulu sebelum saya mula kerja. Kita nak menguruskan kewangan dengan kaedah yang paling baik,” katanya dalam sidang media diadakan secara dalam talian. Sanusi turut berseloroh, beliau sudah memeriksa akaun PN dan mendapati gabungan itu hanya memiliki RM2,700. Dalam pada itu, Sanusi turut menganggarkan kos minimum bagi mengendalikan satu kerusi Parlimen boleh mencecah sekitar RM1 juta, mengambil kira keperluan operasi dan logistik semasa pilihan raya. Katanya, bagaimanapun kekuatan jentera parti khususnya PAS yang banyak bergantung kepada tenaga sukarela membantu mengurangkan kos keseluruhan dan model tersebut membolehkan parti bergerak lebih efisien walaupun dengan dana terhad. Justeru Sanusi yang juga pegarah pilihan raya PAS menggesa ahli dan penyokong terus menyumbang kepada parti sebagai persediaan menghadapi PRU akan datang, sambil menegaskan hanya melalui sumbangan telus, sistem politik negara dapat diperbaiki. “Untuk PRU akan datang, mungkin persiapan kena lebih tinggi, belanja kena lebih sikit, orang PAS derma kepada PAS. PAS ada duit, PAS buat kerja untuk PN, dalam tiket PN, dengan sendirinya PN ada duit. Nak cari duit banyak-banyak siapa nak bagi, jadi tolonglah saya, bagi duit dan menderma. “Kita masih berdasarkan konsep derma lagi, macam mana PAS hidup, begitulah PN akan hidup,” katanya. Menteri besar Kedah itu turut mengingatkan parti tidak seharusnya bergantung kepada sumber kewangan yang meragukan atau menggunakan dana kerajaan untuk tujuan politik. “Sistem yang merosakkan negara ini, bila parti curi duit kerajaan hanya untuk politik, itu merosakkan. Negara ini rosak kerana itu. Jangan buat kerja macam tu,” katanya. “Jadi, untuk menghidupakan politik yang sihat di negara ini, parti-parti politik hiduplah dengan derma daripada ahli.”