PN gesa sidang khas Parlimen bincang pembatalan perjanjian dagang dengan AS
2026-03-16 - 04:54
Takiyuddin Hassan berkata pembatalan ART menunjukkan pentingnya penilaian rapi sebelum Malaysia memeterai komitmen perdagangan antarabangsa. PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) menggesa sidang khas Dewan Rakyat diadakan bagi membincangkan pembatalan perjanjian perdagangan timbal balik (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS). Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan berkata perkembangan itu menimbulkan persoalan mengenai kedudukan sebenar rundingan perdagangan dengan AS serta komitmen yang mungkin telah dibuat oleh Putrajaya kepada Washington. Beliau turut menyuarakan kebimbangan pembatalan perjanjian itu boleh memberi kesan kepada sektor eksport Malaysia serta rantaian bekalan. “PN menggesa kerajaan memberikan penjelasan segera menyeluruh mengenai status sebenar perjanjian itu, implikasi ekonomi dan diplomatiknya kepada Malaysia, selain langkah-langkah melindungi kepentingan negara. “PN juga berpandangan kerajaan wajar memanggil sidang khas Parlimen bagi membolehkan Ahli-ahli Parlimen diberikan taklimat penuh dan seterusnya membahaskan implikasi perkembangan terbaru ini secara terbuka dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan. Semalam, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Ghani mengesahkan perjanjian ART antara Malaysia dan AS terbatal selepas Mahkamah Agung AS membatalkan tarif yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump. Trump dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menandatangani perjanjian perdagangan itu pada Oktober lalu ketika lawatan presiden AS berkenaan ke Kuala Lumpur sempena sidang kemuncak Asean. Perjanjian tersebut mengekalkan tarif 19% ke atas barangan Malaysia, namun beberapa produk diberikan kadar tarif sifar di bawah senarai perdagangan rakan sejajar. Selepas keputusan Mahkamah Agung itu, Trump berkata beliau akan mengenakan tarif global sebanyak 15% bagi menggantikan tarif yang dibatalkan oleh mahkamah, selepas sebelum ini mengumumkan levi 10% ke atas semua barangan yang memasuki AS.