TheMalaysiaTime

PN gesa kerajaan jelas kehadiran kapal tentera laut AS

2026-03-17 - 16:01

Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, berkata keadaan ini berpotensi menimbulkan persepsi yang bercanggah dengan pendirian berkecuali Malaysia. PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan memberikan penjelasan terperinci mengenai kehadiran aset tentera laut Amerika Syarikat (AS) di perairan negara. Akhbar New Straits Times hari ini melaporkan dua kapal tempur pesisir milik AS dilihat berlabuh di Terminal Kontena Butterworth Utara pada Ahad. Kapal-kapal yang dikonfigurasikan untuk tugas pembersihan ranjau itu sebelum ini ditempatkan di Timur Tengah. Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata kedua-dua kapal tersebut mematuhi prosedur yang ditetapkan, namun Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, berkata keadaan ini berpotensi menimbulkan persepsi yang bercanggah dengan pendirian berkecuali Malaysia. Takiyuddin berkata PN mengalu-alukan penegasan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa prinsip negara tidak terlibat dengan konflik itu selaras dengan komitmen Malaysia terhadap dasar berkecuali, keamanan dan kestabilan serantau. Bagaimanapun, katanya, kehadiran aset tersebut di perairan negara menimbulkan persoalan sama ada Malaysia berperanan memudah cara atau terlibat secara tidak langsung dalam operasi ketenteraan berkait konflik negara luar. “Sehubungan itu, PN menggesa kerajaan memberikan penjelasan yang tuntas dan telus mengenai kehadiran, tujuan serta status aset berkenaan. “Sama ada ia dalam transit ke atau dari penugasan operasi di kawasan seperti Selat Hormuz — dan bagaimana perkara ini selaras dengan dasar berkecuali negara,” katanya dalam satu kenyataan. Kata Takiyuddin, kredibiliti Malaysia amat bergantung pada keselarasan antara prinsip yang disuarakan dengan pelaksanaan sebenar di lapangan. Dalam laporan New Straits Times hari ini, Khaled berkata kedua-dua kapal tersebut mematuhi protokol rasmi negara berkaitan lawatan seperti itu. Katanya, kapal tentera laut di seluruh dunia lazimnya membuat persinggahan di pelabuhan bagi tujuan logistik seperti pengisian semula bekalan sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing. Pelabuhan Malaysia kerap menerima kunjungan kapal tentera laut asing berikutan kepentingan strategik Selat Melaka. Kunjungan terkini termasuk kapal tentera laut Korea Selatan, ROKS Kang Gam-chan pada Mac, kapal tentera laut Rusia pada Februari, serta sebelum ini kapal pengangkut pesawat tentera laut AS seperti USS Nimitz, USS Carl Vinson dan USS Abraham Lincoln.

Share this post: