TheMalaysiaTime

PN dakwa jurang harga diesel Malaysia Timur-Barat cetus persepsi tak adil

2026-03-26 - 06:10

Harga diesel di Semananung kini pada kadar 5.52 seliter manakala Sabah, Sarawak serta Labuan kekal RM2.15. PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) mendakwa perbezaan besar harga diesel di Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung berisiko mewujudkan persepsi ketidakadilan di kalangan rakyat. Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan mengakui penetapan harga RM2.15 seliter untuk pengguna di Malaysia Timur mempunyai justifikasi tertentu berkaitan struktur subsidi dan pertimbangan ekonomi wilayah. “Namun jurang harga terlalu besar berisiko mewujudkan persepsi ketidakadilan dengan pengguna dan perniagaan di Semenanjung kerana menanggung beban jauh lebih berat atau seolah-olah dihukum oleh kerajaan atas sebab-sebab tertentu. “Keadaan ini menuntut penjelasan telus dan jujur bagi mengelakkan kekeliruan serta persepsi negatif di kalangan rakyat,” katanya dalam kenyataan. Takiyuddin Hassan. Semalam, Kementerian Kewangan mengumumkan harga diesel dari 26 Mac hingga 1 April di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada RM5.52 seliter, meningkat daripada RM4.72 seliter. Keadaan itu disebabkan konflik di Asia Barat yang telah mendorong harga minyak mentah global naik lebih 40%, melebihi USD100 setong, sekali gus meningkatkan risiko gangguan bekalan minyak global. Harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter. Kelmarin, kerajaan mengumumkan peningkatan bantuan tunai secara interim bagi penerima BUDI Diesel Individu dan BUDI Diesel Agri-Komoditi, daripada RM200 kepada RM300. Mengulas lanjut, Takiyuddin PN mengambil maklum kerajaan mengaitkan kenaikan itu dengan peningkatan harga minyak global serta ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat, namun menegaskan rakyat berhak mengetahui tahap kesiapsiagaan kerajaan. “Timbul persoalan sama ada langkah-langkah yang diumumkan setakat ini berkesan dan mencukupi untuk benar-benar meringankan beban dan kebimbangan itu,” katanya. Takiyuddin berkata PN menggesa kerajaan menjelaskan faktor kenaikan, langkah segera mengurangkan kesan kepada rakyat, memperjelaskan bantuan bersasar tambahan serta menyatakan unjuran kemungkinan kenaikan selanjutnya. Selain itu, PN mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan cukai durian runtuh sementara ke atas sektor dan syarikat yang mendapat manfaat daripada lonjakan harga komoditi global, termasuk sektor minyak, supaya hasil tambahan itu dapat disalurkan bagi membantu meringankan beban rakyat. “Kerajaan wajib mengutamakan kebajikan rakyat serta memastikan dasar yang dilaksanakan bersifat telus, bertanggungjawab dan berkesan,” katanya.

Share this post: