TheMalaysiaTime

PM boleh pegang portfolio lain, bukan menteri kewangan, kata Hamzah

2026-03-02 - 08:14

Hamzah Zainudin berkata pembangkang tidak membantah RUU berkaitan had tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun tetapi mahu pengasingan kuasa. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin menegaskan cadangan oleh blok itu supaya perdana menteri dilarang memegang portfolio kewangan bagi mengelakkan penumpuan kuasa berlebihan. Dalam perbahasan Rang Undang-Undang berkaitan had tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun di Dewan Rakyat, Hamzah berkata tiada masalah sekiranya perdana menteri ingin memegang portfolio kementerian lain. “Tetapi bukan menteri kewangan,” kata Ahli Parlimen Larut itu sambil menekankan rakyat tidak mempersoalkan tempoh seseorang jawatan perdana menteri sebaliknya individu memegang dua jawatan utama. “Perdana menteri ada kuasa penuh melantik semua anggota Jemaah Menteri. “Kemudian lantik diri sendiri sebagai menteri kewangan. Pada saya, ini yang dipersoalkan rakyat. Ini sudah berlebihan kuasanya,” katanya. Dalam pada itu, Hamzah menegaskan pembangkang tidak membantah RUU berkenaan, sebaliknya mahu pengasingan kuasa antara perdana menteri dan menteri kewangan dilaksanakan. “Ia demi memastikan sistem semak dan imbang yang lebih kukuh pada masa depan,” katanya. Hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim membentangkan sendiri RUU berkenaan untuk bacaan kali kedua selepas kali pertama pada 23 Feb lalu. Anwar menepis kebimbangan yang undang-undang itu akan mengubah asas demokrasi berparlimen dan menjejaskan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Share this post: