TheMalaysiaTime

PM arah JPA tambah baik laluan kenaikan pangkat penjawat awam gred terendah

2026-03-09 - 01:44

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata cadangan itu memberi tumpuan khusus kepada kumpulan pembantu tadbir perkeranian dan kewangan yang berada dalam kategori gred terendah dalam perkhidmatan awam. PUTRAJAYA: Kerajaan sedang memperkemaskan laluan kenaikan pangkat melibatkan kira-kira 125,000 penjawat awam di peringkat gred rendah, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah diminta menyediakan mekanisme kenaikan gred yang lebih jelas dan tersusun, termasuk peluang kenaikan secara berperingkat, contohnya daripada Gred 1 ke Gred 5. Menurutnya, cadangan itu memberi tumpuan khusus kepada kumpulan pembantu tadbir perkeranian dan kewangan yang berada dalam kategori gred terendah dalam perkhidmatan awam. “Kita bersetuju bahawa kategori penjawat awam di peringkat paling rendah perlu diberikan perhatian supaya kedudukan mereka dapat ditingkatkan sedikit. “Ia sekali gus memastikan kebajikan kumpulan pelaksana terus terpelihara,” katanya pada perjumpaan bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Anwar yang juga menteri kewangan berkata laluan kenaikan pangkat itu dirangka dengan syarat yang lebih munasabah, antaranya berdasarkan tempoh perkhidmatan yang layak serta penyertaan dalam kursus khas bagi meningkatkan kemahiran. Katanya, kursus tersebut dijangka mengambil masa sekitar dua hingga tiga minggu dan bertujuan memberi pendedahan tambahan, termasuk dalam bidang teknologi maklumat (IT) serta peningkatan kecekapan kerja. Beliau berkata cadangan itu kini sedang dimuktamadkan oleh JPA. “Jika dilaksanakan seperti dirancang, kira-kira 125,000 kakitangan dalam kategori berkenaan akan mengikuti kursus tersebut dalam tempoh enam bulan. “...sebelum kenaikan pangkat dapat dibuat selewat-lewatnya pada 1 Jan tahun depan,” katanya.

Share this post: