PKR Sabah bidas senator Filipina dangkal berkait tuntutan ke atas negeri
2026-03-27 - 09:10
Ketua Penerangan PKR Sabah Ahmad Farid Sainuri berkata cubaan Senator Filipina Robin Padilla membangkitkan semula tuntutan ke atas Sabah bagi meraih sokongan politik. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: PKR Sabah membidas kenyataan seorang senator Filipina cuba menghidupkan semula isu tuntutan negeri itu yang disifatkannya tidak berasaskan realiti dan dangkal dalam konteks krisis tenaga global semasa. Ketua Penerangannya, Ahmad Farid Sainuri, berkata isu berkaitan Sabah telah lama diselesaikan melalui sejarah, undang-undang dan kehendak rakyat. “Sabah secara sah menubuhkan Malaysia yang berdaulat pada 1963 berteraskan prinsip penentuan nasib sendiri yang diiktiraf masyarakat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan. “Cubaan Robin Padilla membangkitkan semula tuntutan itu menunjukkan kecenderungan menggunakan sentimen nasionalis secara populis bagi meraih sokongan politik, tanpa mengambil kira implikasi terhadap hubungan diplomatik dua hala Malaysia dan Filipina.” Terdahulu, Padilla menggesa Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr menghidupkan semula tuntutan ke atas Sabah dengan menghantar utusan untuk berbuat demikian. Pada 2016, presiden Filipina ketika itu, Rodrigo Duterte dilaporkan akan meneruskan tuntutan Filipina ke atas Sabah, tetapi ia lenyap seketika sebelum digembar-gemburkan sekali lagi menjelang pilihan raya presiden empat tahun lalu. Farid menegaskan Mahkamah Rayuan The Hague pada 2023 menolak permohonan lapan individu mendakwa waris Kesultanan Sulu untuk menguatkuasakan tuntutan timbang tara hampir USD14.9 bilion terhadap Malaysia. Disember lalu, Mahkamah Rayuan Paris turut membatalkan sepenuhnya award akhir membabitkan pampasan berjumlah USD14.9 bilion (RM61.38 bilion) yang memihak kepada individu mendakwa waris Kesultanan Sulu dan memerintahkan mereka membayar kos €200,000 (RM957,140) kepada Malaysia. Beliau berkata, ini membuktikan cubaan pihak tertentu untuk menuntut Sabah hanya sia-sia. “Perkembangan ini menutup ruang kepada mana-mana pihak untuk memanipulasi isu Sabah melalui saluran undang-undang antarabangsa,” katanya sambil menyifatkan sebarang cubaan mempertikaikan perkara itu tidak bertanggungjawab dan berpotensi menggugat keharmonian serantau. Filipina menuntut hak ke atas Sabah berdasarkan hujah Syarikat British Borneo Utara tiada hak kedaulatan dan kerajaan British tidak memperoleh kedaulatan daripada Sepanyol di bawah Protokol 1885 mahupun Syarikat British Borneo Utara melalui Perjanjian Naungan 1888. Pada 26 Feb lalu, Presiden Warisan, Shafie Apdal, menolak tuntutan terbaru Filipina ke atas Sabah, dengan menegaskan kedudukan negeri itu dalam Malaysia “muktamad dan tidak boleh dirundingkan”. Bekas ketua menteri Sabah itu berkata demikian susulan kenyataan jurucakap hal ehwal maritim Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina, Rogelio Villanueva, yang berkata negaranya kekal menuntut kedaulatan ke atas Sabah.