PKR Johor kenal pasti 28 kerusi berpotensi ditandingi pada PRN
2026-03-04 - 08:33
Dr Zaliha Mustafa berkata PKR Johor mengenal pasti beberapa kerusi berpotensi untuk ditandingi sebagai persediaan menghadapi PRN akan datang. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: PKR Johor mengenal pasti 28 kerusi DUN berpotensi untuk ditandingi pada PRN dijangka tahun depan. Ketuanya, Dr Zaliha Mustafa, berkata sasaran itu ditetapkan selepas penyelarasan kekuatan organisasi melibatkan 26 cabang parti di seluruh negeri dalam pemukiman bengkel pilihan raya PKR 2026 selama dua hari pada 28 Feb hingga 1 Mac lalu. Katanya, penetapan sasaran itu mencerminkan kedudukan semasa parti selain memberi tumpuan kepada kawasan dikenal pasti mempunyai potensi saingan lebih kukuh. “Perkara ini telah dikemukakan kepada Naib Presiden Amiruddin Shaari ketika beliau mengetuai jawatankuasa pilihan raya pusat menyampaikan amanat di dalam bengkel pemantapan jentera pilihan raya peringkat negeri Johor dan Melaka baru-baru ini, sekali gus memperjelas hala tuju parti dalam menghadapi medan pilihan raya negeri,” katanya di Facebook. Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata, parti turut mengambil kira pelbagai kemungkinan landskap politik semasa termasuk pertandingan tiga penjuru, kesinambungan kerjasama dalam kerangka gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional serta kemungkinan PRN dan PRU berlangsung serentak atau berasingan. Katanya, jentera parti kini memberi fokus kepada beberapa DUN tumpuan dengan penyelarasan operasi lapangan dan penggemblengan kekuatan organisasi secara lebih tersusun. Sebelum ini, Timbalan Pengerusi PH Johor, Teo Nie Ching, berkata rundingan awal pembahagian kerusi dalam kalangan parti gabungan sudah dimulakan sebagai langkah persediaan menghadapi kemungkinan PRN di negeri berkenaan. Beliau berkata, semua parti politik kini dijangka sedang menyusun strategi masing-masing, dengan perbincangan pembahagian kerusi antara parti dalam gabungan menjadi antara langkah awal menjelang kemungkinan pilihan raya tersebut.