TheMalaysiaTime

PKR Johor bercita-cita besar sasar tanding 28 kerusi, kata penganalisis

2026-03-07 - 23:03

PKR Johor dilaporkan mengenal pasti 28 kerusi berpotensi ditandingi pada PRN akan datang. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: PKR Johor dilihat ‘terlalu bercita-cita’ apabila menyasarkan bertanding 28 kerusi pada PRN di sebalik kedudukannya yang masih bergelut menembusi sokongan pengundi di negeri itu. Chin Yee Mun dari Universiti Tunku Abdul Rahman berkata PKR gagal menempatkan kedudukan kukuh di Johor walaupun ketika Pakatan Harapan berada pada prestasi terbaiknya pada pilihan raya negeri 2022. “Ini jelas satu projek yang bercita-cita tinggi. Pada 2022, PKR bertanding 20 kerusi tetapi hanya menang satu kerusi — Bukit Batu,” katanya kepada FMT. Chin berkata keputusan 2022 mengulang corak 2013, apabila PKR juga hanya menang di Bukit Batu. PKR pernah mencatat kejayaan pada 2018, apabila menang lima daripada 12 kerusi yang ditandingi di Johor, tetapi situasinya ketika itu berbeza. “Bersatu masih dalam PH dan arus kuat pihak pembangkang melanda terutamanya apabila Muhyiddin Yassin, bekas menteri besar Johor, memimpin usaha itu,” katanya. Sejak itu, PKR menghadapi kesukaran menarik sokongan pengundi Melayu dan kekuatan lama mereka di kerusi campuran atau majoriti Cina tidak lagi terutamanya epiod kekalahan besar DAP pada PRN Sabah. Rabu lalu, Pengerusi PKR Johor Dr Zaliha Mustafa berkata parti itu mengenal pasti 28 kerusi yang berpotensi ditandingi pada pilihan raya negeri akan datang menjelang pertengahan 2027. Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata parti itu terbuka kepada pelbagai kemungkinan, termasuk pertandingan tiga penjuru dan kerjasama berterusan dengan PH dan Barisan Nasional. Chin berkata sasaran bertandng di 28 kerusi itu menunjukkan PKR Johor secara tidak langsung bersedia menghadapi kemungkinan pertandingan tiga penjuru. “Keputusan ini mungkin langkah strategik selepas mengambil kira BN mungkin memainkan peranan lebih dominan jika PH dan BN bekerjasama pada pilihan raya negeri. “PKR hanya menjadi menguasai satu kerusi dan mungkin hanya diberikan satu kerusi jika kedua-dua gabungan itu bekerjasama,” katanya. Namun, pertandingan tiga penjuru berisiko kerana ia boleh membahagikan undi dan menguntungkan Perikatan Nasional (PN), terutamanya di kerusi Melayu yang dimenangi Umno dengan majoriti tipis pada 2022. Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berkata PKR Johor mungkin sekadar ‘menguji’ rakan Umno-BN mereka. “Saya rasa BN tidak akan melepaskan mana-mana daripada 40 kerusi yang mereka menang pada 2022, jadi hanya tinggal 16 kerusi untuk dipertandingkan. “Jika PKR benar-benar bertegas mahu bertanding 28 kerusi, kita mungkin akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru seperti 2022, apabila parti itu hanya menang satu kerusi dan pun dengan majoriti yang sangat tipis,” katanya. Pada PRN Johor 2022, Arthur Chiong dari PKR menang kerusi Bukit Batu dengan majoriti 137 undi dalam pertandingan empat penjuru menentang calon BN, PN dan Warisan. Azmi berkata, jika PKR bergantung kepada faktor penguasaan kerusi sedia ada, ia masih berdepan cabaran sukar untuk mempertahankan Bukit Batu yang mempunyai pengundi Cina melebihi 53%. “PKR menang kerusi itu banyak bergantung kepada penyokong DAP, tetapi dengan DAP menghadapi kesukaran selepas pilihan raya Sabah, saya rasa PKR tidak boleh mengharapkan undi mereka kali ini,” katanya.

Share this post: