PKR fail saman RM60 juta terhadap 6 Ahli Parlimen
2026-03-06 - 12:03
Ahli Parlimen keluar PKR dalam Langkah Sheraton adalah (barisan atas, dari kiri) Baru Bian, Kamarudin Jaffar dan Mansor Othman, serta (barisan bawah, dari kiri) Rashid Hasnon, Saifuddin Abdullah dan R Santhara Kumar. KUALA LUMPUR: PKR memfailkan saman terhadap enam bekas Ahli Parlimen parti itu yang merupakan antara mereka yang bertanggungjawab atas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada 2020 susulan Langkah Sheraton. Setiausaha Agung Fuziah Salleh, yang membawa saman itu bagi pihak PKR, menamakan enam individu iaitu Baru Bian (Selangau), Kamarudin Jaffar (Bandar Tun Razak), Mansor Othman (Nibong Tebal), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), dan R Santhara Kumar. Parti itu juga memfailkan saman serupa terhadap 10 Adun yang keluar parti pada 2020. Dalam dua pernyataan tuntutan berasingan, Fuziah berkata parti itu menuntut RM10 juta setiap seorang daripada defendan kerana melanggar bon yang mereka tandatangani sejurus sebelum PRU14 pada 2018. Firma guaman, Nav & Co, memfailkan saman tersebut pada 19 Feb di Mahkamah Tinggi, yang menetapkan 27 Mac untuk pengurusan kes. Menurut terma bon tersebut, defendan dikehendaki membayar jumlah itu dalam tempoh tujuh hari jika mereka memenangi kerusi atas tiket PKR tetapi kemudian meletak jawatan daripada parti, menyertai parti politik lain, atau menjadi wakil rakyat bebas. Pada PRU14, parti itu memenangi beberapa kerusi Parlimen dan DUN dan seterusnya membentuk kerajaan persekutuan serta beberapa kerajaan negeri. Fuziah berkata, bahawa pada atau sekitar 24 Feb 2020, umum mengetahui bahawa setiap defendan berhenti menjadi ahli parti selepas dipilih atas bendera PKR. Beliau berkata defendan telah menjajarkan diri mereka atau menyokong gabungan politik selain daripada PH. Kecuali Baru, yang lain menyokong Muhyiddin Yassin dalam Langkah Sheraton untuk dilantik sebagai perdana menteri. Muhyiddin kemudian menerajui kerajaan Perikatan Nasional. Parti itu menamatkan keahlian mereka pada 11 Mac 2020 dan menuntut pematuhan bon tersebut, namun tidak mendapat sebarang maklum balas. Fuziah berkata PKR membelanjakan sumber yang besar untuk melindungi jenamanya, membangunkan sumber manusia bagi mempromosikan platformnya, mengenal pasti dan mengesahkan calon, menjalankan kempen peringkat nasional dan negeri, serta memastikan kemenangan pilihan raya di peringkat persekutuan dan negeri. Beliau berkata peletakan jawatan atau penjajaran semula defendan selepas pilihan raya telah mengubah komposisi majoriti pihak memerintah di peringkat persekutuan atau negeri, dan menjejaskan keupayaan parti untuk melaksanakan mandat yang diperoleh pada pilihan raya. Pada September 2020, Saifuddin Nasution Ismail, yang ketika itu merupakan setiausaha agung, memfailkan saman serupa terhadap Ahli Parlimen Ampang ketika itu, Zuraida Kamaruddin, yang juga meninggalkan parti untuk menyokong Muhyiddin. Mahkamah Rayuan memerintahkan beliau membayar RM100,000 kepada parti, namun parti itu telah merayu ke Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan kuantum yang lebih tinggi.