TheMalaysiaTime

Pindaan Perlembagaan tempoh jawatan PM dibentang tahun ini

2026-01-31 - 05:37

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said berkata Jemaah Menteri meneliti input dasar, pandangan awam serta syor melalui sesi libat urus holistik membabitkan pelbagai pihak berkepentingan. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Beberapa pindaan Perlembagaan Persekutuan akan dilakukan untuk mengukuhkan dasar mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun atau dua penggal penuh, kata Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said. Menurutnya, pindaan itu dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini, selepas cadangan dasar dipersetujui Jemaah Menteri semalam. “Keputusan ini dibuat selepas Jemaah Menteri meneliti secara menyeluruh input dasar, pandangan awam serta syor yang dikemukakan melalui sesi libat urus holistik dengan pembabitan pelbagai pihak berkepentingan,” katanya menurut Berita Harian. Sebelum ini, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, memaklumkan kerajaan akan membentangkan rang undang-undang (RUU) mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh. Beliau dilaporkan berkata, RUU itu antara langkah reformasi institusi dilaksanakan kerajaan sebagai hala tuju pada sesi Parlimen tahun ini. Azalina berkata, cadangan itu bagi mengelakkan penumpuan kuasa berlebihan, memperkukuh sistem demokrasi dan meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kepimpinan negara selaras amalan demokrasi matang peringkat antarabangsa.

Share this post: