Pindaan Akta Persaingan cadang perlindungan, ganjaran kepada pemberi maklumat
2026-02-26 - 08:33
Menteri Armizan Mohd Ali pada sidang media selepas pemeteraian surat persefahaman antara KPDN dan Kementerian Belia dan Sukan. (Gambar Bernama) PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang memuktamadkan cadangan pindaan terhadap Akta Persaingan 2010 (Akta 712) dengan memasukkan peruntukan baharu bagi memberi perlindungan serta ganjaran kepada pemberi maklumat. Menteri Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu bertujuan menggalakkan lebih ramai tampil menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang persaingan tanpa rasa takut terhadap sebarang tindakan balas. “Kita wujudkan peruntukan khas untuk memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat di dalam Akta Persaingan 2010. Kedua, kita juga akan memberikan ganjaran kepada mereka yang menyalurkan maklumat tersebut. “Perlindungan dan juga ganjaran ini antara reformasi undang-undang dan institusi akan kita laksanakan,” katanya pada sidang media selepas pemeteraian surat persefahaman (LoU) antara KPDN dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Mohamed Taufiq Johari dan Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Idrus Harun. Armizan berkata, pindaan itu bukan sekadar memperkemas kerangka perundangan berkaitan persaingan, malah melibatkan penambahbaikan terhadap struktur dan peranan MyCC supaya lebih berkesan dalam penguatkuasaan. Katanya, reformasi institusi suruhanjaya persaingan penting supaya KPDN dapat menggerakkan usaha mengekang sebarang bentuk kartel bawah undang-undang persaingan. “Perlindungan kepada pemberi maklumat amat penting bagi memastikan sebarang aktiviti kartel atau pakatan sulit yang menjejaskan pasaran dapat dikesan lebih awal dan diambil tindakan sewajarnya. “Pemberian ganjaran pula dilihat sebagai insentif tambahan supaya maklumat disalurkan adalah tepat dan berintegriti, sekali gus membantu siasatan pihak berkuasa,” katanya. KPDN dijadual membentangkan pindaan terhadap Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 dan Akta Persaingan 2010 pada sidang Parlimen akan datang. Langkah itu menyusul keputusan Tribunal Rayuan Persaingan (TRP) sebelum ini yang menolak empat rayuan syarikat penternak terhadap keputusan pelanggaran Akta Persaingan. Pada 12 Feb lalu, Armizan berkata pindaan kedua-dua akta itu bertujuan memperkasakan kapasiti dan bidang kuasa MyCC dalam membanteras kartel yang memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat.