Pijak Quran tindakan tak boleh diterima, kata Rayer
2026-02-25 - 15:43
Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer puji tindakan bapa mahasiswa terbabit serah anaknya kepada polis. PETALING JAYA: Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer menggesa agar tindakan setimpal mengikut peruntukan undang-undang sedia ada dikenakan terhadap seorang mahasiswa yang didakwa memijak al-Quran. Ahli Parlimen DAP itu berkata, tindakan mana-mana rakyat Malaysia mencemuh agama lain adalah salah, memandangkan negara ini dihuni masyarakat berbilang kaum. “Di Malaysia, setiap agama wajib dihormati oleh semua warganegara. Salah bagi sesiapapun untuk mencemuh, menghina atau memperlekeh mana-mana agama, apatah lagi agama orang lain. “Perbuatan memijak mana-mana kitab suci, terutamanya milik agama lain, jelas salah dan tidak boleh diterima, justeru mesti ditangani dengan tegas oleh undang-undang,” katanya dalam kenyataan. Rayer turut memuji tindakan bapa mahasiswa berkenaan yang dilaporkan menyerahkan anaknya kepada polis setelah kejadian itu diketahui umum. “Bapa pelajar ini mengambil tindakan sangat terpuji. Biarkan sahaja undang-undang dilaksanakan. Kita perlu sentiasa menjunjung kedaulatan undang-undang dan tidak bertindak sendiri,” katanya. Terdahulu, polis menahan seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah di Kuantan yang disyaki menghina Islam di media sosial berikutan gambar yang dikatakan menunjukkan kakinya memijak al-Quran menjadi tular. Pelajar lelaki berusia 21 tahun itu direman sehingga 28 Feb bagi membantu siasatan berhubung kesalahan melukakan perasaan agama, hasutan dan penyalahgunaan kemudahan rangkaian. Bapanya membuat laporan polis pada hari yang sama kerana bimbangkan keselamatan anaknya, sambil memohon maaf kepada seluruh umat Islam atas perbuatan anaknya.