Pharmaniaga keluar status PN17 esok
2026-03-16 - 13:24
Bursa Malaysia umum Pharmaniaga akan dikeluarkan daripada status PN17. (Gambar Bernama) KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia berkata Pharmaniaga Bhd akan dikeluarkan daripada status PN17 berkuat kuasa 9 pagi esok. Bursa berkata syarikat Nota Amalan 17 itu telah menyelaraskan keadaan kewangan dan tidak lagi mencetuskan mana-mana kriteria bawah Perenggan 2.1 PN17 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama. “Bursa Malaysia akan terus memantau perkembangan syarikat PN17 dan Nota Panduan 3 (GN3) berhubung pematuhan mereka terhadap keperluan penyenaraian Pasaran Utama dan Pasaran ACE,” menurut kenyataan. Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan Pharmaniaga Zulkifli Jafar berkata pencapaian kumpulan itu mencerminkan daya tahan, disiplin dan komitmen kolektif yang ditunjukkan di seluruh organisasi sepanjang tempoh yang amat mencabar. Beliau berkata dengan keluarnya daripada status PN17, Pharmaniaga akan menumpukan perhatian ke arah memperkukuh pertumbuhan jangka panjang dan mengembangkan keupayaan strategik di seluruh rantaian nilai penjagaan kesihatan. “Ini menandakan permulaan fasa baharu bagi Pharmaniaga apabila kami beralih daripada menstabilkan perniagaan dan mengukuhkan asas kepada memacu pertumbuhan yang mampan,” katanya. Melangkah ke hadapan, ia berkata Pharmaniaga akan terus meningkatkan keupayaan farmaseutikal dan biofarmaseutikal, sambil memperdalam kehadiran di pasaran serantau, dan berusaha ke arah membina organisasi yang lebih kuat dan berdaya tahan untuk masa depan. Pada 27 Februari, 2023, Pharmaniaga diklasifikasikan sebagai syarikat PN17. Kumpulan itu kemudian melaksanakan pelbagai inisiatif pemulihan, dengan pemulihan luar biasa disokong oleh prestasi operasi yang meningkat secara konsisten. Sejak suku pertama berakhir 31 Mac, 2024, syarikat telah mencatat keuntungan untuk lapan suku berturut-turut, dengan keuntungan bersih sebanyak RM48.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.