TheMalaysiaTime

PH Sabah mahu jadi jambatan aspirasi negeri-Putrajaya, kata Mustapha

2026-03-11 - 02:44

Mustapha Sakmud akan menggunakan kedudukannya sebagai menteri hal ehwal Sabah dan Sarawak untuk membawa suara rakyat ke Jemaah Menteri dan agensi kerajaan untuk dipenuhi serta dilaksanakan. PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) Sabah mahu menjadi jambatan menghubungkan aspirasi negeri itu dengan pelaksanaan dasar di peringkat persekutuan, kata Ketuanya Mustapha Sakmud. Dilantik ke jawatan itu pada 15 Feb lalu, beliau juga menggunakan kedudukan sebagai menteri hal ehwal Sabah dan Sarawak untuk membawa suara rakyat ke mesyuarat Jemaah Menteri dan agensi kerajaan untuk dipenuhi serta dilaksanakan. “Ini peranan yang kita akan mainkan dan berharap rakyat Sabah menghargainya apabila dapat selesaikan terutama masalah asas mereka,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sepanggar dalam temu bual dengan FMT. Atas dasar itu, Mustapha yang juga ketua PKR Sabah yakin sentimen terhadap parti nasional seperti PH masih diterima di Sabah. “Ada segmen masih memberikan harapan kepada parti-parti nasional dan mereka juga menghormati kerajaan hari ini,” katanya sambil menegaskan segala hak Sabah akan dapat dipenuhi. “Walaupun tidak semuanya dalam masa terdekat, tapi maksudnya proses itu berjalan. “Saya sendiri sebagai pengerusi PH, pengerusi PKR Sabah serta sebagai menteri Sabah dan Sarawak akan memastikan hak diperjuangkan rakyat Sabah dapat dipenuhi,” katanya. Keputusan PRN Sabah menyaksikan kemerosotan prestasi parti nasional seperti PH yang menang satu kerusi menerusi PKR dengan DAP tewas di semua kawasan ditandingi manakala Barisan Nasional menguasai enam kerusi DUN dan satu oleh Perikatan Nasional. Pilihan raya berlangsung 30 Nov lalu menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah menang kerusi terbanyak dengan 29 kerusi, diikuti Warisan (25), bebas (5), Upko (3), Parti Solidariti Tanah Airku (2) dan KDM (1).

Share this post: