TheMalaysiaTime

PH mesti perkukuh pengundi teras menjelang PRU16, kata wakil PKR

2026-03-15 - 01:24

Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah berkata Pakatan Harapan mesti berusaha meyakinkan pengundi terasnya bahawa gabungan itu kekal berminat dengan reformasi. PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen PKR menggesa Pakatan Harapan (PH) memperkukuh sokongan daripada pengundi terasnya bagi menguatkan kedudukan dalam rundingan kerjasama PRU16. Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah, berkata PH perlu mengutamakan pengukuhan pengundi bandar dan golongan M40, sambil memberi amaran tanpa pengundi teras yang kuat, gabungan itu akan sukar menarik pengundi atas pagar dan mereka yang bukan penyokongnya. “Kita perlu menguatkan diri. Kita perlu meyakinkan pengundi teras kita bahawa kita sebenarnya telah melaksanakan (reformasi), atau sekurang-kurangnya sedang melakukannya. “Sebahagian pengundi teras kita, terutama golongan M40 dan pengundi bandar, telah berubah arah. Tanpa mengira kaum, kita perlu meyakinkan mereka bahawa kita adalah reformis,” katanya kepada FMT. Beliau berkata, PH mesti memastikan ia mempunyai kuasa rundingan yang mencukupi sebelum berunding dengan gabungan atau parti lain mengenai kerjasama. “(Hanya) selepas itu kita berada dalam kedudukan untuk menentukan siapa rakan gabungan kita jika kita membentuk kerajaan. Yang penting ialah kembali kepada asas — anda sendiri mesti kuat sebelum orang lain mahu berbincang dengan anda.” Naib ketua PKR Johor itu menekankan, mesej parti perlu disampaikan menggunakan bahasa jelas dan mudah, atau diterjemahkan dengan cara yang boleh difahami rakyat. Beliau berkata, jargon dan statistik cenderung mengelirukan orang kerana sesetengah mungkin tidak memahami bagaimana sesuatu isu memberi kesan kepada mereka. “Apabila saya bercakap dengan orang ramai ketika Tahun Baharu Cina, saya memberitahu mereka bahawa ringgit telah mengukuh, tetapi ramai yang tidak memahami maksudnya. “Saya kemudian menjelaskan harga limau mandarin lebih murah berbanding tahun lalu disebabkan peningkatan nilai ringgit,” katanya. Isu yang menjauhkan golongan minoriti dan liberal Penganalisis politik, Wong Chin Huat dari Sunway University berkata PH perlu terlebih dahulu memperkukuh sokongan dalam kalangan pengundi bandar dan kelas pertengahan terasnya sebelum berusaha meluaskan kumpulan pengundinya menjelang PRU akan datang. Beliau berkata, ini kerana sebilangan besar kerusi PH dimenangi dengan kurang daripada 50% undi. Tanpa kehadiran pengundi yang kuat, bilangan kerusi gabungan boleh merosot dengan ketara, katanya, mungkin sehingga separuh. Wong berkata, PH tidak boleh mengharapkan untuk mengekalkan sokongan tradisinya, yang termasuk golongan minoriti dan liberal, hanya dengan bergantung kepada prestasi ekonomi negara. Katanya, penyokong teras PH memerhatikan dengan teliti bagaimana Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengurus keseimbangan kaum dan agama Malaysia yang sensitif, dengan memberi amaran isu ‘kepercayaan’ kritikal, termasuk ketegangan etnik dan agama, boleh menjauhkan sokongan gabungan itu. “Ketika penerimaan semua agama bawah kerajaan Madani sedang diuji, Anwar perlu mengambil tindakan berani dengan mempertahankan pluralisme dalam Islam, bukan berubah-ubah antara memuaskan hati nasionalis Muslim dan memikat golongan minoriti serta liberal,” kata Wong.

Share this post: