PH Johor usul PRN, PRU diadakan serentak
2026-03-06 - 15:54
Aminolhuda Hassan (tengah) bersama kepimpinan PH Johor. Turut hadir Zaliha Mustafa dari PKR (kiri) dan Teo Nie Ching dari DAP (kanan). (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) Johor mengusulkan agar PRN dan PRU dilaksanakan serentak bagi menjimatkan perbelanjaan kerajaan serta memudahkan urusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan rakyat untuk mengundi. Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hasan berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat PH Johor hari ini, lapor Bernama. “Kalau dua kali pilihan raya bermakna semua parti yang terlibat perlu mencari dana dan pelaksanaannya secara berasingan dikhuatiri boleh mengganggu kelancaran urusan pentadbiran kerajaan,” katanya selepas mesyuarat itu dan majlis berbuka puasa bersama media Johor. Sehubungan dengan itu, beliau berkata PH Johor selaku pengimbang akan mengemukakan cadangan tersebut kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat melalui Ketua Pengimbang Johor Andrew Chen Kah Eng. Sementara itu, Aminolhuda berkata PH Johor menubuhkan empat jawatankuasa termasuk Johor Madani sebagai persediaan menghadapi PRN dan PRU akan datang. Beliau yang juga pengerusi Amanah Johor berkata tiga lagi ialah Jawatankuasa Agihan Kerusi, Jawatankuasa Isu dan Komunikasi serta Jawatankuasa Penyelaras Menteri Persekutuan. “Kita meletakkan mereka yang berpengalaman, yang ada pengalaman sebagai Adun untuk mengetuai jawatankuasa yang ditubuhkan. “Penubuhan jawatankuasa ini bertujuan memperkemas gerak kerja parti menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya. Beliau yang juga Ahli Parlimen Sri Gading berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan bekas Adun Bukit Naning yang juga Timbalan Pengerusi MPN PKR Johor Ysahrudin Kusni. Pada PRN 2022, PH menang 12 daripada 56 kerusi DUN Johor, BN (40), Perikatan Nasional (3), dan Muda (1). PRN yang seterusnya mesti diadakan selewat-lewatnya pada pertengahan Jun tahun depan.