PH-BN berpeluang menang di Terengganu jika ada faktor ‘wow’, kata penganalisis
2026-02-28 - 01:13
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata tanpa faktor luar biasa, peluang PH-BN tembusi Terengganu sebagai kubu kuat BN. PETALING JAYA: Penganalisis politik berpendapat Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) hanya berpeluang mencipta kejutan di Terengganu pada PRU16 sekiranya muncul faktor ‘wow’ luar biasa yang mampu mengubah sentimen pengundi. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata, tanpa faktor luar biasa itu, peluang PH-BN, khasnya Amanah menembusi kubu kuat Perikatan Nasional (PN) amat tipis kerana realiti politik di Terengganu masih didominasi sokongan pengundi Melayu. Menurutnya, Terengganu bukan sekadar negeri majoriti Melayu, malah boleh dianggap kawasan “ultra-Melayu” dengan hampir 70% undi kaum itu kekal dalam tangan PN berdasarkan dapatan semasa yang menyebabkan gabungan diketuai Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar itu sukar dicabar. “Amanah dan PH hanya mampu menapak jika muncul ‘wow factor’ luar biasa, sama ada melalui kejutan strategi, gelombang nasional yang mengubah ‘mood’ pengundi atau isu besar menggugat dominasi PN,” katanya kepada FMT. Beliau mengulas hasrat Naib Ketua Amanah Terengganu, Zamir Ghazali, bertanding di kerusi Parlimen Kemaman, yang kini disandang Samsuri, pada PRU16. Zamir turut mendakwa dapat merampas kerusi itu daripada PAS, dengan sokongan BN yang diharapkan dapat memberi laluan kepadanya. Pada PRK Kemaman 2 Dis 2023, Samsuri yang julung kali bertanding di kerusi Parlimen itu mendapat 64,998 undi menewaskan calon BN, Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang meraih 27,778 undi. Ini bermakna Samsuri memperoleh majoriti 37,220 undi berbanding kelebihan 27,179 undi yang dimenangi penyandang, Che Alias Hamid, juga daripada PAS pada PRU15. Zaharuddin berkata, beliau tidak yakin Zamir mampu menang di Kemaman berdasarkan kedudukan Samsuri yang memberi kelebihan besar dari segi imej kepimpinan dan simbol kestabilan politik Melayu-Islam. Selain jawatan menteri besar dan pengerusi PN, Samsuri juga naib presiden PAS dan dilihat tokoh mampu menjadi calon perdana menteri gabungan itu. “Tanpa faktor luar biasa itu, hasrat bertanding di Kemaman lebih menyerupai simbol keberanian daripada peluang kemenangan. Realitinya, PH perlu lebih daripada sekadar calon bersemangat. Mereka perlukan naratif yang mampu menggoncang akar sokongan Melayu yang kini terlalu kukuh di tangan PN,” katanya. Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang senada dengan Zaharuddin berkata, Amanah tidak mampu menang di Kemaman berdasarkan keputusan PRK lalu menyaksikan Samsuri menang dengan majoriti 37,220 undi menewaskan bekas panglima angkatan tentera, Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor daripada BN. “Kalau ikutkan, BN lebih kuat di Terengganu berbanding PH dan BN juga tak boleh kalahkan PAS, terutamanya Samsuri yang merupakan menteri besar disayangi. “Daripada pemahanan saya, sokongan pengundi di Terengganu sekarang sangat memihak kepada PAS dan harapan untuk Amanah yang kurang berakar menang memang susahlah.”