TheMalaysiaTime

PGA Sarawak rampas barangan RM18.34 juta, tahan 19 individu

2026-03-03 - 06:03

Rampasan 26 batang kayu balak dan jentera berat dianggarkan lebih RM2 juta dalam Ops Taring Libas di Selangau. (Gambar Bernama) KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merampas pelbagai produk sejuk beku, bawang dan kayu balak keseluruhan bernilai RM18.34 juta menerusi Ops Taring Chiller, Ops Taring Batas dan Ops Taring Libas dijalankan dari 1 hingga 28 Feb lalu. Komander Briged Sarawak, Lim Bak Phai, berkata menerusi Ops Taring Batas, enam warga asing dan seorang warga tempatan ditahan di sekitar daerah Serian, Sri Aman dan Bau kerana cuba memasuki Malaysia tanpa dokumen sah serta dipercayai terlibat dalam penyeludupan barang kawalan dan produk sejuk beku. “Rampasan melibatkan 3,200kg bawang merah, 300kg produk sejuk beku, wang tunai, telefon bimbit serta beberapa kenderaan,” katanya dalam kenyataan. Lim berkata, menerusi Ops Taring Chiller pula, 10 warga tempatan ditahan dalam beberapa serbuan di Saratok, Miri, Sibu, Kota Samarahan dan Limbang. Beliau berkata, rampasan melibatkan sebanyak 136,402kg pelbagai jenis produk sejuk beku selain sebuah stor sejuk beku, forklift, mesin pemprosesan dan beberapa kenderaan. “Sementara itu, dalam Ops Taring Libas di Selangau, dua lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti pembalakan tanpa permit sah. Rampasan melibatkan 26 batang kayu balak serta jentera berat dengan nilai dianggarkan melebihi RM2 juta,” katanya.

Share this post: