TheMalaysiaTime

Petugas ukur sempadan hilang dihanyut arus deras di Lawas

2026-03-19 - 00:40

Bomba berkata mangsa dilaporkan dihanyutkan arus deras ketika melintas sungai untuk ke tapak perkhemahan di satu kawasan di Lawas, Sarawak berhampiran Malaysia–Brunei. (Gambar Envato Elements) PETALING JAYA: Bomba melancarkan operasi mencari dan menyelamat seorang petugas pengukuran sempadan dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras di sebuah sungai di Lawas, Sarawak berhampiran sempadan Malaysia–Brunei, Selasa lalu. Mangsa dikenali sebagai Donysius Gabriel Goh, 36, bersama lima lagi petugas berada di lokasi berkenaan bagi menjalankan operasi pengukuran sempadan antarabangsa, lapor Berita Harian. Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Sarawak berkata, tiga anggota dari Balai Bomba Lawas digerakkan ke lokasi untuk melancarkan operasi mencari dan menyelamat selepas menerima laporan kejadian itu pada 9.19 malam, Rabu. Katanya, berdasarkan maklumat, kejadian berlaku kira-kira 4 petang Selasa apabila semua petugas terbabit bergerak dari ‘Base Camp’ ke Sungai Ulu Temburong untuk mencari ikan. “Bagaimanapun, keadaan cuaca bertukar buruk dengan hujan lebat kira-kira 8.30 malam menyebabkan arus sungai menjadi deras dan berbahaya. “Semua petugas terbabit kemudian mengambil keputusan untuk bermalam dan mendirikan khemah di kawasan selamat berhampiran sungai berkenaan. “Ketika usaha menyeberangi sungai ke lokasi perkhemahan, seorang daripada mereka dihanyutkan arus deras sebelum hilang dari pandangan rakan-rakan,” katanya. Katanya, lima petugas yang terselamat cuba melakukan pencarian pada malam kejadian dan keesokan paginya tetapi masih gagal mengesan mangsa. Menurutnya, mereka kemudian kembali ke Base Camp pada pagi Rabu bagi melaporkan kejadian dan mendapatkan bantuan lanjut daripada pihak berkuasa.

Share this post: