Petronas dapat kebenaran cabar ordinan O&G Sarawak
2026-03-16 - 07:54
Mahkamah Persekutuan arahkan Petronas failkan petisyen dalam tempoh 21 hari untuk cabar keperlembagaan beberapa undang-undang Sarawak yang kawal selia minyak dan gas di negeri itu. PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan beri kebenaran kepada Petronas untuk mencabar keperlembagaan beberapa ordinan Sarawak yang mengawal selia minyak dan gas di negeri Borneo tersebut. Bersidang sebagai hakim tunggal, Hakim Besar Malaya Hashim Hamzah membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam Petronas, Cyrus Das dan Khoo Guan Huat, Peguam Besar Sarawak Saferi Ali dan Penasihat Undang-Undang Kerajaan negeri, JC Fong. ” (Petronas) telah memenuhi ambang untuk mahkamah mendengar petisyennya,” kata hakim berkenaan. Terdahulu, Das berkata DUN Sarawak meluluskan pindaan kepada beberapa ordinan, termasuk Ordinan Pengagihan Gas (DGO) dan Ordinan Perlombongan Minyak, yang melanggar peruntukan di bawah Seksyen 1(a), 8(c), 8(j) dan 11(c) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Katanya, peruntukan itu menyentuh mengenai perjanjian, perdagangan, pembangunan sumber mineral, serta pengeluaran dan pengagihan kuasa dan tenaga. Das memberitahu mahkamah bahawa hanya Dewan Rakyat yang boleh meluluskan undang-undang berkaitan perkara-perkara ini, bukannya DUN. Peguam itu menambah bahawa pindaan kepada DGO yang diluluskan pada 2023 secara tidak langsung menjadikan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) sebagai agregator gas tunggal di Sarawak bagi ‘menggantikan’ Petronas. Fong yang membantah permohonan Petronas untuk memulakan cabaran perlembagaan tersebut atas alasan bahawa permohonan itu sepatutnya difailkan di hadapan Mahkamah Tinggi. Beliau menegaskan bahawa DUN Sarawak telah bertindak dalam lingkungan hak dan bidang kuasanya semasa meluluskan ordinan-ordinan berkaitan. Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly, yang hadir bagi pihak kerajaan persekutuan, memaklumkan mahkamah bahawa Putrajaya tidak mempunyai bantahan terhadap Petronas untuk meneruskan cabaran perlembagaan tersebut. Beliau menambah bahawa perkara itu harus diteruskan untuk pendengaran penuh. Hashim kemudiannya memerintahkan Petronas untuk memfailkan petisyennya yang memperincikan ordinan dan peruntukan yang dicabar dalam tempoh 21 hari. Petronas sebelum ini berkata tindakan undang-undang itu difailkan bagi membolehkan Mahkamah Persekutuan membuat penentuan muktamad mengenai kedudukan undang-undang yang terpakai kepada sektor petroleum di Sarawak. Katanya, ia mahu memastikan operasinya di negeri itu mematuhi semua undang-undang dan tatacara kawal selia yang terpakai.