TheMalaysiaTime

Petronas aktif protokal kesinambungan perniagaan di UAE

2026-03-05 - 15:54

Petronas akan terus menilai sebarang potensi impak material ke atas operasi dan kewangannya, ia juga akan berkomunikasi secara proaktif selaras dengan obligasi pendedahan kumpulan itu. KUALA LUMPUR: Petronas mengaktifkan protokol kesinambungan perniagaan untuk operasi di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) bagi memastikan prestasi operasi dan kewangannya di seluruh rantau ini. Syarikat minyak nasional itu melalui satu maklum balas e-mel kepada Bernama berkata sebagai sebahagian daripada langkah ini, kumpulan itu memulakan pemindahan sementara kakitangan daripada operasinya di Abu Dhabi dan Dubai sebagai langkah berjaga-jaga. “Semua operasi di UAE terus diuruskan melalui pengaturan ganti. Operasi di luar UAE di seluruh rantau berkenaan akan diteruskan seperti biasa,” tambahnya. Pada hari Rabu, QatarEnergy mengisytiharkan ‘force majeure’ ke atas bekalan gas asli cecair (LNG) berikutan penggantungan pengeluaran di beberapa kemudahan eksport utama. ‘Force majeure’ dalam industri minyak dan gas ialah peruntukan berkontrak yang melepaskan pihak terkait daripada melaksanakan kewajipan seperti pembekalan atau penerokaan, disebabkan oleh kejadian yang tidak dijangka dan tidak terkawal seperti bencana alam, peperangan, wabak atau tindakan kerajaan yang menjadikan prestasi agak mustahil. Ia memerlukan klausa khusus, notis yang tepat pada masanya dan pematuhan yang ketat selain tidak berlanjutan kepada kesusahan ekonomi atau kemerosotan pasaran. Pada Februari, anak syarikat Petronas, Petronas LNG Ltd (PLL), menandatangani perjanjian jual beli (SPA) gas asli cecair (LNG) selama 20 tahun dengan QatarEnergy, menandakan perjanjian pembekalan LNG jangka panjang pertama antara kedua-dua syarikat. Di bawah SPA tersebut, PLL akan mengambil sehingga dua juta tan setahun (MTPA) LNG daripada QatarEnergy selama 20 tahun. Petronas akan terus menilai sebarang potensi impak material ke atas operasi dan kewangannya, ia juga akan berkomunikasi secara proaktif selaras dengan obligasi pendedahan kumpulan itu. “Petronas komited untuk memenuhi kewajipannya sebagai pengendali yang bertanggungjawab dan akan terus mengambil semua langkah yang perlu bagi melindungi pekerja, aset serta operasinya di seluruh rantau ini,” tambahnya lagi.

Share this post: