TheMalaysiaTime

Pesuruhjaya Kanak-Kanak gesa tindakan tegas tangani mercun haram

2026-03-18 - 07:11

Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) gesa perundangan sedia ada diperkukuh untuk mengenakan hukuman lebih berat terhadap penyeludup, pengedar dan penjual mercun haram. (Gambar Envato Elements) PETALING JAYA: Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) menggesa pihak berkuasa memperketatkan penguatkuasaan terhadap penjualan mercun haram susulan insiden membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di Kedah, baru-baru ini. Dalam kejadian itu, mangsa dilaporkan kehilangan beberapa jari selain mengalami kecederaan parah pada tangan akibat letupan mercun. CC mendedahkan statistik 2025 menunjukkan lebih 200 kecederaan berkaitan mercun dilaporkan setiap tahun di Malaysia dengan kanak-kanak merekodkan jumlah tertinggi. “Walaupun Akta Bahan Letupan 1957 memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000, kelemahan penguatkuasaan menyebabkan undang-undang ini kurang berkesan,” katanya dalam kenyataan. Sehubungan itu, CC menggesa perundangan sedia ada diperkukuh untuk mengenakan hukuman lebih berat terhadap penyeludup, pengedar dan penjual mercun haram. “Polis dan pihak berkuasa juga diminta mengambil tindakan segera dan tegas bagi membendung penjualan serta penggunaan mercun haram dan tidak diluluskan,” katanya. CC turut meningatkan ibu bapa agar memikul tanggungjawab mendidik anak-anak mengenai risiko kecederaan serius atau maut akibat bermain mercun haram. “Pemimpin agama termasuk imam, turut digalakkan untuk memperkukuh mesej ini melalui khutbah dan penglibatan komuniti. “Selain aspek keselamatan, penggunaan mercun secara berlebihan juga merupakan satu pembaziran dan amalan ini ditegah dalam semua agama dan bercanggah dengan nilai moral serta wajar dielakkan pada setiap masa,” katanya.

Share this post: