TheMalaysiaTime

Pesawah bimbang kos operasi melonjak susulan kenaikan harga diesel

2026-03-29 - 03:01

Ketika ini ramai pesawah terpaksa mencari sumber pendapatan tambahan kerana hasil daripada tanaman padi sahaja tidak mencukupi. KUALA LUMPUR: Pesawah bimbang kenaikan harga diesel yang berterusan akan meningkatkan kos operasi sehingga menjejaskan kelangsungan industri padi, sekali gus membebankan golongan petani. Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob, berkata setakat ini terdapat tiga kali kenaikan harga diesel berjumlah 80 sen, menjadikan harga semasa sekitar RM5.52 seliter. “Kalau kita lihat sebelum ini, penyasaran diesel pada 2024 sudah menyebabkan kenaikan sekitar RM1.20. Dalam keadaan itu pun, kira-kira 55% kos operasi terpaksa ditanggung petani. Bayangkan sekarang berlaku tiga kali kenaikan lagi sebanyak 80 sen hingga mencecah RM5.52 seliter,” katanya kepada FMT. Beliau berkata, walaupun setakat ini pengusaha jentera masih belum menaikkan kadar perkhidmatan, kenaikan harga dijangka berlaku dalam masa terdekat. Katanya, sebelum ini kadar pembajakan selepas penyasaran diesel 2024 mencecah sekitar RM120 bagi satu relung, manakala bagi satu hektar boleh mencecah antara RM400 hingga RM500 untuk satu pusingan dan kos itu pasti akan terus meningkat. Rashid berkata, pesawah kini bimbang tidak mampu menanggung kos yang semakin tinggi dan menggesa kerajaan meneliti semula keperluan sektor penanaman padi. “Memang kita nampak banyak bantuan subsidi diberikan kepada sektor pertanian, tetapi apa yang petani perlukan ialah jaminan mereka boleh terus mengusahakan sawah dengan keuntungan. Kalau tidak untung, sudah pasti tak berbaloi kerana di hujungnya nanti petani rugi,” katanya. Menurutnya, tanaman padi mempunyai kitaran lebih kerap berbanding tanaman lain iaitu setiap empat bulan, menjadikan kos operasinya lebih tinggi dan berterusan. Sehubungan itu, beliau mencadangkan reformasi menyeluruh terhadap industri padi termasuk aspek harga lantai, harga belian padi dan kos input seperti benih. Katanya, ketika ini ramai pesawah terpaksa mencari sumber pendapatan tambahan kerana hasil daripada tanaman padi sahaja tidak mencukupi. “Ada yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, berniaga dan buat kerja lain untuk tampung pendapatan keluarga. Kalau nak harap pendapatan daripada sawah sahaja, buat masa ini memang tidak mencukupi,” katanya.

Share this post: