TheMalaysiaTime

Perut terisi, masa depan lebih cerah

2026-03-16 - 23:34

Tutor sukarela yang terdiri daripada penuntut universiti bantu pelajar ketika kelas tuisyen percuma setiap minggu di PPR Desa Rejang. (Bani Jamian@FMT) KUALA LUMPUR: Di sebuah ruang komuniti serba sederhana di flat Program Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak, sekumpulan kanak-kanak berkumpul setiap minggu untuk mengikuti kelas tuisyen secara percuma. Buat puluhan kanak-kanak di sini, kelas tersebut bukan hanya medan menuntut ilmu, malah ia ibarat talian hayat yang amat bermakna bagi keluarga yang terpaksa mencatu setiap ringgit. Sebagai antara inisiatif kelolaan NGO Free Food Society (FFS), sesi mingguan ini memberikan manfaat kepaa pelajar sekolah rendah dan menengah miskin bandar yang mungkin terlepas peluang bimbingan akademik tanpanya. Menurut Jeenath Begam Abdul Rahman, prestasi akademik anaknya Nurol Erifeyna Abdul Wahab, 15, mula meningkat sejak hadiri kelas tuisyen percuma di PPR Desa Rejang. (Hizami Safri@FMT) Buat Jeenath Begam Abdul Rahman, pendaftaran anaknya Nurol Erifeyna Abdul Wahab, 15, ke kelas itu nyata membawa titik perubahan yang cukup bermakna. Gadis yang dahulunya agak terkebelakang dalam pelajaran itu kini mempamerkan pencapaian yang semakin memberangsangkan. “Pencapaian akademiknya sebelum ini agak merosot, tetapi syukur Alhamdulillah, banyak kemajuan yang dicapai sejak dia mengikuti kelas tuisyen ini,” kata Jeenath kepada FMT. Zarina Abu Safian bersama anaknya, Ahmad Khausar Abdul Hafiz, 14, yang bercita-cita menjadi askar suatu hari nanti. (Hizami Safri@FMT) Begitu juga dengan ibu tunggal, Zarina Abu Safian, yang melihat perubahan ketara pada anaknya, Ahmad Khausar Abdul Hafiz, 14. “Sejak sertai kelas ini, dia berubah daripada seorang yang tidak bergaul kepada seseorang yang lebih mesra. Dia juga sudah pandai bergurau-senda di rumah,” kongsinya diiringi tawa kecil. Dari sudut akademik, perubahannya juga cukup membanggakan. “Markah peperiksaannya catat peningkatan, terutamanya bagi mata pelajaran bahasa Inggeris dan Matematik,” tambahnya. Impian Ahmad Khausar cukup ringkas, namun terselit cita-cita yang menggunung — dia memasang niat untuk menjadi askar demi mempertahankan tanah air. Menyedari hakikat bahawa minda sukar memberi tumpuan apabila perut kelaparan, pihak FFS turut mengambil inisiatif menyediakan makanan sebelum sesi pembelajaran bermula. Jeenat menyimpulkannya dengan satu persoalan mudah: Di manakah lagi ada kelas tuisyen — sekalipun berbayar — yang sanggup turut menyediakan makanan? Ilmu merubah kehidupan Penolong Bendahari FFS Rozini Amin berkongsi dengan FMT bahawa matlamat jangka panjang inisiatif ini adalah untuk menyantuni keluarga miskin yang mempunyai anak-anak, kerana pendidikan ialah tiket utama untuk keluar daripada kepompong kemiskinan. Sesi pembelajaran disusun rapi agar sesuai dengan setiap tahap pencapaian akademik bagi membolehkan para sukarelawan menyesuaikan kaedah bimbingan dengan lebih berkesan, sementara rekod kehadiran pula dipantau menerusi WhatsApp. Walaupun hidangan dan snek yang disajikan bukanlah mewah, ia kekal menjadi sokongan yang amat penting buat keluarga yang bergelut untuk mengalas perut setiap hari. “Hidangan ini amat penting memandangkan ramai antara mereka yang hadir ke kelas dengan perut kosong. Apabila tidak lapar, anak-anak ini lebih mudah terima ilmu,” kata Rozini. Buat ibu bapa, impak program ini jauh melangkaui kad laporan, ia malah berjaya membentuk rutin yang baik serta membina keyakinan diri pelajar. Mereka kelihatan lebih bermotivasi, dan apa yang paling bermakna, ia menerbitkan sinar harapan baharu. Mereka sama sekali tidak sanggup melihat program ini terhenti. “Kalau kelas tuisyen ini dihentikan, saya rasa sungguh putus harapan,” luah Jeenat, mewakili isi hati seluruh komuniti di situ. Siti Rozaini Hassan bersama anaknya Nur Qadirah Mohd Saiful, 14, yang kini lebih yakin diri selepas sertai kelas tuisyen percuma. (Hizami Safri@FMT) Seorang lagi penghuni flat PPR tersebut, Siti Rozaini Hassan memberi gambaran betapa sukarnya keadaan kelak buat golongan ibu tunggal, jika kelas tuisyen itu tidak lagi diadakan. “Apabila anak-anak kami hadiri kelas tuisyen, urusan harian kami jadi jauh lebih teratur,” katanya. Buat Siti Rozaini yang terikat dengan waktu kerja yang panjang sebagai juruterapi urut, faktor lokasi yang dekat menjadi sebab utama beliau mendaftarkan anaknya, Nur Qadirah Mohd Saiful, 14. Peningkatan keyakinan diri yang ditonjolkan oleh Nur Qadirah kini disifatkan sebagai suatu rahmat yang tidak disangka. “Dulu dia seorang yang sangat pemalu untuk bersuara, kini dia lebih berani, rajin bertanya, lebih yakin diri,” kata Siti Rozaini. Titik permulaan Ketika wabak Covid-19 melanda, bekas pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Ali Abdul Kadir dan isterinya, Tina Saw Abdullah, melihat sendiri kelompangan sistem pendidikan yang jelas meminggirkan kanak-kanak daripada keluarga B40. Ali Abdul Kadir (memakai jaket) dan Tina Saw Abdullah (tengah) bersama pasukan mereka, termasuk Rozini Amin (kanan), jadikan pendidikan sebagai talian hayat buat kanak-kanak di PPR Desa Rejang. Ramai yang keciciran apabila kelas dalam talian yang dilaksanakan ketika itu menyingkap realiti perit kehidupan seharian mereka. Rata-rata mereka tidak memiliki peranti digital, data internet, jauh sekali sambungan WiFi bagi membolehkan mereka mengikuti sesi pembelajaran. Kesannya cukup membimbangkan, apabila dilihat ramai masih gagal menguasai kemahiran membaca, menulis atau mengira seiring dengan tahap usia mereka. Bertitik tolak dari situ, Ali dan Tina bekerjasama dengan sekumpulan individu yang berfikiran sama, termasuk beberapa penggiat NGO, untuk menubuhkan FFS. Menurut Rozini, sumbangan dana mencurah-curah ketika wabak memuncak, namun aliran itu perlahan-lahan menyusut sebaik sahaja sekatan pergerakan tamat dan kehidupan kembali seperti sedia kala. FFS kini terpaksa bergantung harap pada ihsan dan sokongan masyarakat demi memastikan kelangsungan program tuisyen itu, serta satu lagi inisiatif serahan makanan percuma kelolaan mereka. Walaupun diapit pelbagai kekangan kewangan, Rozini menegaskan bahawa kelas tuisyen itu kekal menjadi keutamaan yang sama sekali tidak boleh dikompromi. “Komponen tuisyen ini adalah satu perkara yang tidak akan kami kurangkan,” ujarnya. Logiknya mudah — pendidikan sentiasa menjadi jalan keluar daripada kesempitan hidup untuk membina peluang baharu. Buat komuniti seperti di Desa Rejang yang saban hari bergelut meneruskan kehidupan, inisiatif seperti kelas tuisyen ini mengingatkan kita bahawa perubahan yang besar sering bermula dengan rasa prihatin yang berterusan, walau sekecil mana sekalipun. Memastikan kelangsungan program ini ibarat menjamin masa depan mereka, dan dengan sokongan berterusan, FFS mampu memastikan kelaparan tidak lagi menjadi penghalang untuk menuntut ilmu, dan masa depan yang samar diubah menjadi peluang. Justeru, Rozini amat mengalu-alukan sumbangan kewangan daripada orang ramai mahupun komuniti perniagaan bagi menyokong usaha murni ini. Malah, beliau turut menyarankan agar syarikat-syarikat korporat menyerap inisiatif ini ke dalam program tanggungjawab sosial (CSR) mereka. Insan yang sudi membantu menjayakan misi ini boleh menyalurkan sumbangan terus ke akaun Maybank Persatuan Makanan Ehsan (5643-2461-7332). Semua bentuk sumbangan kepada FFS melayakkan penderma mendapat pelepasan cukai. Bagi urusan resit atau sebarang pertanyaan, sila hubungi freefoodsociety@gmail.com.

Share this post: