Pertikaian Petronas-Sarawak: Mahkamah Persekutuan akan bertindak adil, kata Ahli Parlimen
2026-03-03 - 00:54
Ahli Parlimen Jimmy Puah berkata sebarang langkah yang melemahkan Petronas boleh mendatangkan kesan serius terhadap keyakinan pelabur dan kestabilan ekonomi negara. PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen kerajaan yakin terhadap kebebasan Mahkamah Persekutuan menyelesaikan pertikaian undang-undang antara Petronas dan kerajaan Sarawak. Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah, percaya mahkamah tertinggi itu akan mempertimbangkan semua sudut yang berkaitan apabila mentafsirkan isu perlembagaan dan undang-undang dibangkitkan kedua-dua pihak. Puah yang juga naib pengerusi PKR Johor berkata, hakim bukan sahaja akan mempertimbangkan aspek perundangan secara literal, malah kepentingan nasional yang lebih luas. “Saya amat yakin apabila mahkamah menangani persoalan tafsiran ini, ia akan mengambil kira semua sudut, termasuk daya maju komersial, semangat federalisme dan bagaimana ia akan beri kesan kepada pertumbuhan ekonomi kita. “Saya percaya semua faktor ini akan dipertimbangkan, dan saya tetap yakin dengan kebebasan serta kebijaksanaan mahkamah untuk mencapai kesimpulan yang terbaik,” katanya. Pada Januari, Petronas memfailkan usul di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan kejelasan undang-undang mengenai kerangka kawal selia yang mentadbir operasinya di Sarawak, susulan pertikaian dengan negeri itu berhubung hak pengedaran gas dan obligasi pematuhan. Langkah itu bertujuan menetapkan asas undang-undang bagi rundingan yang sedang berjalan dengan Petroleum Sarawak Bhd (Petros). Bulan lalu, kerajaan Sarawak memfailkan petisyen di mahkamah tertinggi tersebut bagi mencabar tiga undang-undang persekutuan yang mentadbir petroleum, sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk memperoleh kawalan lebih besar terhadap sumber aslinya. Puah menegaskan, mahkamah tidak dikawal oleh badan perundangan mahupun terikat kepada badan eksekutif, sekali gus menekankan peranan perlembagaan mereka sebagai cabang kerajaan yang bebas. “Panel hakim Mahkamah Persekutuan juga merangkumi Hakim Besar Sabah dan Sarawak (Azizah Nawawi), dan saya menjangkakan beliau memainkan peranan yang sangat penting dalam prosiding tersebut,” katanya. Menyentuh mengenai kebimbangan terhadap implikasi ekonomi daripada pertikaian itu, Puah berkata pertimbangan komersial pasti akan menjadi sebahagian daripada konteks yang lebih luas. “Petronas adalah ‘angsa yang bertelur emas’. Tidak syak lagi betapa besarnya sumbangan syarikat itu kepada perbendaharaan negara. Jika anda memecahkannya kepada beberapa bahagian, kita akan kehilangan skala ekonomi. “Kita harus memikirkan kepentingan nasional di sini. Kita tidak mendiskriminasi sesiapa pun,” katanya. Beliau memberi amaran, operasi yang terpecah boleh menjejaskan kecekapan dan kapasiti pelaburan semula jangka panjang. Katanya, sebarang langkah yang melemahkan Petronas boleh mendatangkan kesan serius terhadap keyakinan pelabur dan kestabilan ekonomi negara. “Kita sedang menarik pelabur dari seluruh dunia. Salah satu perkara utama diperlukan oleh mana-mana perniagaan atau pelabur apabila datang ke Malaysia ialah kepastian. “Jika ragu-ragu, mereka mungkin berfikir dua kali untuk melabur di Malaysia atau dalam Petronas. Kepastian adalah sangat penting,” katanya.