Pertikaian kuil: Konfrontasi bukan cara Muslim, kata exco Selangor
2026-02-02 - 00:56
Exco Selangor Fahmi Ngah berkata pendekatan konfrontasi, sama ada oleh umat Islam atau penganut agama lain, hanya akan mendalamkan perpecahan. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Fahmi Ngah menggesa semua pihak bertenang berhubung isu pencerobohan kuil dan menegaskan Islam tidak mengajar umatnya bersikap konfrontasi atau terbabit konflik. Berhubung tindakan segelintir individu berhasrat mengambil tindakan sendiri, termasuk mengumpul dana untuk merobohkan kuil didakwa tidak sah, tegasnya, prinsip Islam berakar pada akhlak mulia dan pendekatan harmoni, bukannya paksaan. “Pendekatan Islam bukan pendekatan berbentuk konfrontasi. Dakwah Nabi kebanyakannya terhasil daripada akhlak dan amalan baik. “Orang tidak memeluk Islam kerana peperangan. Tidak, mereka menerima Islam kerana sifat baiknya,” katanya dalam wawancara bersama media terpilih. Adun Seri Setia itu berkata, prinsip ini kekal relevan hingga kini dan pendekatan konfrontasi, sama ada oleh umat Islam atau penganut agama lain, hanya akan mendalamkan perpecahan. “Pendekatan konfrontasi hanya memburukkan perpecahan dan tidak menyelesaikan masalah. Pendekatan lebih harmoni dan sederhana lebih baik supaya kita dapat hidup bersama secara aman dalam negara berbilang agama. “Jika umat Islam merasakan kita adalah agama yang benar, tetapi gagal menunjukkan sifat baik dan akhlak mulia, bagaimana kita boleh mengharapkan kebenaran ini tersebar lebih jauh? “Saya rasa tiba masanya kita menunjukkan wajah Islam yang mesra dan mudah didekati, sedia berinteraksi dengan penganut agama lain.” Minggu lalu, Fahmi terpaksa menyangkal dakwaan tular sebuah kuil Hindu dibina secara tidak sah akan dipindahkan ke tanah di Petaling Jaya yang dikhaskan untuk pembinaan surau. Katanya, hasil semakan mengesahkan ‘tapak ganti’ itu dizonkan sebagai tapak rumah ibadat bukan Islam dan pengurusan kuil terbabit masih perlu mengemukakan permohonan, jika mereka berhasrat menduduki tapak berkenaan secara sah. Beliau turut meminta semua pihak terbabit dalam isu itu, tidak kira beragama Islam atau bukan Islam supaya bertenang dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan boleh menimbulkan sentimen perkauman negatif. Imbangi penguatkuasaan dengan kesederhanaan Fahmi berkata, kedaulatan undang-undang adalah penting, tetapi pelaksanaannya memerlukan kebijaksanaan dan keseimbangan, khasnya apabila membabitkan isu sensitif seperti rumah ibadat yang dibina atas tanah milik orang lain. Tegasnya, kerajaan Selangor mengakui berlaku kes pencerobohan, tetapi menolak tekanan daripada suara ekstremis yang mendesak tindakan punitif segera. “Kita boleh mengambil pendekatan sangat tegas dan cepat, atau kita boleh memilih jalan bijak, harmoni serta sederhana untuk menyelesaikan masalah (dengan cara yang tidak mencetuskan ketegangan).” Sebagai kerajaan bertanggungjawab, keutamaan adalah menyelesaikan isu seperti ini secara konstruktif. Justeru, katanya, pentadbiran negeri sedang berusaha mencari formula untuk menangani bangunan warisan. Menurutnya, kes sebegini memerlukan perhatian khusus, khasnya apabila ada struktur keagamaan yang telah wujud selama berdekad. “Jika ia baru dibina, kita boleh minta mereka berpindah. Tetapi, jika ia telah berada di sana sejak 50 tahun lalu, saya fikir mesti ada keterbukaan dan perbincangan bagi mencari penyelesaian harmoni.”