Pertemuan Hamzah-Zahid untuk menyatukan parti Melayu, kata Wan Saiful
2026-03-05 - 01:43
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin baru-baru ini mendakwa bekas timbalannya, Hamzah Zainudin, mengadakan pertemuan sulit dengan Presiden Umno Zahid Hamidi mengenai penjajaran politik baharu. PETALING JAYA: Seorang bekas Ahli Parlimen Bersatu mengesahkan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin ada bertemu dengan Presiden Umno Zahid Hamidi, namun perbincangan itu tertumpu kepada usaha menyatukan parti-parti Melayu di negara ini. Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, berkata Hamzah yang juga bekas timbalan presiden Bersatu hanya berbincang dengan pihak sesuai yang boleh membantu matlamat penyatuan politik Melayu. Bagaimanapun menurutnya, beliau tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung sama ada perbincangan itu juga mengenai rancangan menjadikan Hamzah sebagai timbalan perdana menteri. “Secara umumnya pendekatan kita adalah mengusahakan perpaduan parti besar Melayu di mana-mana peringkat dan kita akan menemui pihak yang bersesuaian. “Tetapi yang menjadi penghalang sebelum ini adalah Muhyiddin kerana tidak berminat terhadap permuafakatan dengan parti besar di Malaysia. “Apabila beliau membuat kenyataan seperti itu, ia menunjukkan beliau menolak usaha untuk menyatukan parti Melayu,” katanya,menurut Berita Harian. Pada Selasa, Muhyiddin mendedahkan perancangan Hamzah untuk menjadi timbalan perdana menteri dengan membentuk gabungan bersama parti lain. Ahli Parlimen Pagoh itu turut mengesahkan wujud pertemuan Hamzah bersama Zahid yang juga timbalan perdana menteri, sebelum ini yang dikaitkan dengan ‘Bangkok Move’ bagi membincangkan perkara berkenaan. Dalam pada itu, Wan Saiful berkata jika benar wujudnya perancangan itu, Muhyiddin perlu mengemukakan bukti terhadap dakwaannya itu. “Saya tahu mengenai usaha untuk meletakkan Muhyiddin sebagai perdana menteri ...kalau jawatan untuk beliau boleh, tetapi jawatan pada orang ini salah pula?” katanya. Januari lalu, Zahid mengesahkan berlaku pertemuan dengan pemimpin PAS dan Bersatu berhubung penyatuan orang Melayu menerusi kolaborasi agung. Ketika Perhimpunan Agung Umno, Zahid dilaporkan berkata perjumpaan yang disifatkan secara tidak langsung itu turut membabitkan beberapa parti politik Melayu lain.