Persatuan pelancongan bimbang kenaikan harga diesel jejas TMM 2026
2026-03-16 - 01:04
Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia pengusaha bas persiaran perlu tanggung pelbagai kos operasi lain, termasuk penyelenggaraan kenderaan, gaji pemandu, bayaran tol dan permit dan perlindungan insurans. (Gambar Bernama) KUALA LUMPUR: Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) bimbang kenaikan harga diesel sebanyak 80 sen seliter memberi tekanan besar kepada industri bas persiaran dan berpotensi menjejaskan rantaian ekosistem pelancongan negara serta Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026). Presidennya, Khalid Harun, berkata kenaikan mendadak itu memberi kesan langsung kepada kelangsungan operasi syarikat pengangkutan pelancongan yang masih dalam proses pemulihan selepas pandemik kerana kos operasi akan meningkat secara ketara dan memberi tekanan kewangan kepada pengusaha. “Kebanyakan tempahan bas dibuat lebih awal dengan kadar harga yang telah dipersetujui. Dalam keadaan ini, pengusaha bas tiada ruang untuk menyesuaikan harga apabila berlaku kenaikan kos secara mendadak. “Ramai pengusaha bas kini terpaksa menanggung kos tambahan kerana harga tempahan telah dipersetujui lebih awal. Ini menyebabkan margin keuntungan semakin mengecil dan dalam sesetengah keadaan hampir tiada langsung,” katanya dalam kenyataan. Selain bahan api, beliau berkata, syarikat bas persiaran juga perlu menanggung pelbagai kos operasi lain, termasuk penyelenggaraan kenderaan, gaji pemandu, bayaran tol dan permit serta perlindungan insurans. Jika keadaan berterusan, jelasnya, pengusaha mungkin terpaksa menaikkan harga sewaan bas yang berpotensi memberi kesan langsung kepada sektor pelancongan, korporat serta penganjur acara bergantung kepadanya. “MATA berharap kerajaan dapat meneliti langkah bersesuaian bagi membantu pengusaha menangani peningkatan kos operasi ini, termasuk mempertimbangkan mekanisme sokongan bagi memastikan kelangsungan industri serta kestabilan sektor pelancongan negara.” Pada 11 Mac lalu, kerajaan mengumumkan harga diesel di Semenanjung dinaikkan 80 sen seliter, menjadikan harga runcit mencecah RM3.92 seliter dari 12 hingga 18 Mac ini. Tetapi, harga diesel bersubsidi untuk sektor pengangkutan darat awam dan barangan di Semenanjung dikekalkan pada RM1.88 serta RM2.15 seliter, manakala Sabah dan Sarawak pada RM2.15 seliter.