TheMalaysiaTime

Persaingan politik punca Bersatu tak hadir pertemuan anjuran Umno

2026-03-06 - 07:13

Umno, PAS, PKR, dan Amanah antara lapan parti politik mengadakan pertemuan ‘bersejarah’ bagi mencari titik persamaan dalam isu berkait Islam, Melayu, dan Bumiputera, semalam. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Tindakan Bersatu ‘membisu’ terhadap jemputan menghadiri pertemuan antara parti teras Islam, Melayu dan Bumiputera dianjurkan Umno dipercayai berkait persaingan politik. Penganalisis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Syaza Shukri, berkata Bersatu mungkin tidak mahu dilihat seolah-olah berkompromi dengan Umno khususnya dalam konteks kepimpinan politik Melayu. “Jika hadir, ia seolah-olah mengiktiraf Umno sedang mengetuai usaha ini, sedangkan Bersatu sendiri mahu menggantikan Umno sebagai parti utama orang Melayu. “PAS pula berbeza kerana parti itu lebih berorientasikan agenda Islam berbanding persaingan kepimpinan politik Melayu,” katanya kepada FMT. Terdahulu, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, menjelaskan surat jemputan rasmi dihantar kepada Bersatu, namun tiada jawapan diterima daripada parti itu. Umno, PAS, PKR, dan Amanah antara lapan parti politik mengadakan pertemuan ‘bersejarah’ bagi mencari titik persamaan dalam isu berkait Islam, Melayu, dan Bumiputera di ibu pejabat Umno, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, semalam. Musyawarah kali pertama itu digagaskan Presiden Umno Zahid Hamidi untuk menghimpunkan pelbagai parti, tidak kira blok kerajaan mahupun pembangkang bagi membincangkan maslahah ummah dan Islam. Asyraf memaklumkan Bersatu tidak memberikan maklum balas manakala Putra pula mengadakan sidang akhbar menolak pelawaan Umno dengan mendakwa parti itu mempunyai agenda politik tertentu. Syaza berkata, ketidakhadiran Bersatu turut memberi mesej politik bahawa Umno belum berjaya menyatukan semua parti Melayu dan Islam bawah satu platform. “Ia bukan semestinya satu bentuk sabotaj, tetapi sekurang-kurangnya mengehadkan ruang untuk Umno mendakwa mereka berjaya menghimpunkan semua pihak bawah satu bumbung,” katanya. Sementara itu, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata ketidakhadiran memberi isyarat politik yang tajam terhadap gagasan penyatuan tersebut. Katanya, tindakan itu bukan sekadar ketiadaan biasa, sebaliknya memberi gambaran tentang pendirian politik Bersatu terhadap inisiatif berkenaan. “Dalam politik, kehadiran adalah tanda kesetiaan, ketidakhadiran pula mesej penolakan. Bumbung besar yang dijanjikan sebagai simbol penyatuan kini kelihatan bocor sebelum hujan turun,” katanya. Menurutnya, rakyat juga mahu melihat komitmen sebenar parti politik bekerjasama, bukan sekadar retorik mengenai perpaduan. “Jika antara tiang utama memilih untuk menjauh, maka bumbung besar ini hanya akan menjadi ilusi, runtuh sebelum sempat menjadi rumah bersama,” katanya.

Share this post: