TheMalaysiaTime

Perpaduan kembali dalam Umno punca MIC tangguh sertai PN, kata sumber

2026-03-20 - 04:20

MIC kecewa dengan layanan diterima daripada Umno terutama sekali berkaitan pengagihan kerusi pilihan raya, kata sumber kepada FMT. PETALING JAYA: Perpaduan yang kembali terjalin dalam komponen utama Barisan Nasional (BN), Umno, mendorong MIC untuk untuk menilai semula hala tuju politiknya dan menangguhkan rancangan menyertai Perikatan Nasional (PN), menurut satu sumber parti. Sumber itu memberitahu FMT bahawa MIC sebelum ini serius mempertimbangkan untuk meninggalkan gabungan itu bagi menyertai PN susulan kekecewaan terhadap Umno, namun kini ‘menekan brek buat sementara waktu’ selepas melihat ‘sedikit gambaran masa depan’. Kata sumber, momentum Umno berpotensi meningkat sekiranya bekas ketua pemuda, Khairy Jamaluddin, dan naib presiden, Hishammuddin Hussein, kembali menyertai parti. Baru-baru ini, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, dilaporkan berkata selain Khairy, Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin antara pemimpin Umno yang telah mengemukakan permohonan untuk kembali ke pangkuan parti. Pada 17 Mac, Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, menafikan dakwaan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, bahawa parti itu secara rasmi menyertai gabungan pembangkang tersebut. Ahli Parlimen Tapah itu berkata MIC tidak mengemukakan permohonan untuk menyertai PN, sebaliknya hanya mendapatkan penjelasan mengenai implikasi menjadi parti komponen. Perpecahan dalam PN, sokongan PH merosot Sumber itu berkata perpecahan dalam PN serta kemerosotan keyakinan terhadap Pakatan Harapan (PH) menjadikan BN pilihan yang lebih berdaya maju, ‘buat masa ini’. “Ketika ini, PN sedang bertelagah sesama sendiri. Kami juga merasakan reputasi dan daya tarikan PH semakin merosot,” katanya. Sumber itu turut menunjukkan perubahan sentimen dalam kalangan pengundi Melayu terhadap Umno, dengan menyatakan bahawa pengundi kini melihat melangkaui Presiden Umno, Zahid Hamidi, dan memberikan sokongan kepada parti itu. Beliau juga berkata ahli akar umbi MIC masih berhati-hati untuk bekerjasama dengan PAS, yang merupakan komponen utama PN. “Sebahagian dalam kepimpinan mungkin melihat kerjasama dengan PN sebagai hala tuju ke hadapan ketika itu kerana Bersatu masih kukuh. “Kami juga kecewa dengan BN. MIC dilayan seperti anak tiri. Kami tidak diberi layanan sewajarnya oleh Umno, terutama dalam soal agihan kerusi. Terdapat banyak kekecewaan,” tambahnya. Sumber itu berkata MIC dijangka membincangkan langkah seterusnya dalam mesyuarat jawatankuasa kerja pusat minggu depan, yang boleh menentukan sama ada parti itu kekal dalam BN atau mempertimbangkan semula pilihan lain. “Kami juga bercadang berbincang dengan Zahid mengenai sekatan yang menghalang kemajuan dalam BN. Kita lihat bagaimana perkembangannya nanti,” katanya.

Share this post: