Permohonan kemasukan ke Tabika Perpaduan sesi 2027 dibuka
2026-03-17 - 04:23
Setakat ini terdapat 1,781 Tabika Perpaduan di seluruh negara dengan jumlah murid seramai 34,817 orang. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Permohonan kemasukan ke Tabika Perpaduan bagi sesi 2027 kini dibuka bermula 15 Mac lalu hingga 31 Ogos dan boleh dibuat secara dalam talian. Bermula tahun ini, ia mengaplikasikan Kurikulum Prasekolah 2026 yang menekankan pembangunan menyeluruh kanak-kanak dari segi kognitif, emosi, sahsiah serta nilai perpaduan dan kenegaraan. Setakat ini, terdapat 1,781 Tabika Perpaduan di seluruh negara dengan jumlah murid seramai 34,817 orang, menjadikan institusi itu antara platform penting dalam membina asas pendidikan awal serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan kanak-kanak sejak usia muda. Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, berkata Tabika Perpaduan diperkukuhkan melalui Pelan Pendidikan Awal Kanak-kanak Tabika Perpaduan 2021–2030, iaitu inisiatif strategik kementeriannya bagi memberi suntikan dan nafas baharu kepada program pendidikan awal kanak-kanak. Aaron Ago Dagang. Katanya, pelan itu bertujuan memperkukuh peranan Tabika Perpaduan sebagai institusi yang bukan sahaja membangunkan potensi kanak-kanak secara menyeluruh, malah membentuk generasi yang mempunyai semangat cintakan negara serta mengamalkan nilai murni dalam kehidupan seharian. “Pelan ini merangkumi pemantapan secara menyeluruh meliputi aspek kurikulum, kaedah pengajaran dan pembelajaran, pembangunan profesionalisme guru, tadbir urus, jalinan kerjasama dengan komuniti serta sistem pemantauan yang lebih berkesan. “Enam teras utama digariskan bagi mencapai matlamat tersebut, antaranya memantapkan elemen kenegaraan, perpaduan dan nilai murni dalam kurikulum, memperkukuh profesionalisme guru Tabika Perpaduan, mengukuhkan jalinan kerjasama bersama komuniti, mempertingkat kaedah pengajaran dan pembelajaran, memantapkan tadbir urus pengurusan serta memperkasakan mekanisme pemantauan dan penilaian,” katanya dalam kenyataan. Beliau berkata, Kementerian Perpaduan Negara mengalu-alukan ibu bapa dan penjaga yang berminat untuk mendaftarkan anak mereka ke Tabika Perpaduan bagi mendapatkan pendidikan awal berkualiti dalam persekitaran yang menekankan nilai perpaduan, hormat-menghormati dan keharmonian masyarakat majmuk. Syarat kemasukan ke Tabika Perpaduan adalah terbuka kepada warganegara Malaysia yang mempunyai sijil kelahiran dan MyKad, serta berusia empat hingga enam tahun. Keutamaan juga diberikan kepada pemohon yang tempat kediaman atau tempat kerja ibu bapa berada dalam lingkungan 10km dari lokasi Tabika Perpaduan.