TheMalaysiaTime

Perlu perubahan dasar signifikan untuk parti tempatan kuasai PRN

2026-03-03 - 16:23

Azalina Othman Said berkata, kerajaan komited pelihara semangat federalisme dan keharmonian dalam kerangka Persekutuan Malaysia. (Gambar Bernama) KUALA LUMPUR: Satu perubahan dasar yang ‘signifikan’ diperlukan bagi membolehkan hanya parti tempatan bertanding pada PRN di Malaysia Timur, kata Azalina Othman Said. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-Undang dan reformasi institusi) itu berkata, dasar sedemikian akan membawa implikasi termasuk dari segi kebebasan berpersatuan, hak yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. “Kerajaan sentiasa menghormati aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak serta komited memelihara semangat federalisme dan keharmonian dalam kerangka Persekutuan Malaysia. “Sebarang pertimbangan lanjut hendaklah dibuat secara berhemah, inklusif dan selaras dengan prinsip-prinsip tersebut,” kata Azalina dalam jawapan bertulis Parlimen. Beliau berkata demikian menjawab Jeffrey Kitingan (GRS-Keningau) yang bertanya sama ada kerajaan akan mempertimbangkan untuk membenarkan hanya parti tempatan bertanding pada pilihan raya di Sabah dan Sarawak, susulan keputusan PRN Sabah tahun lepas. Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengekalkan kuasa di negeri itu selepas menang 29 kerusi, kurang lapan daripada majoriti mudah, manakala Warisan memenangi 25 kerusi. Pakatan Harapan (PH) hanya menang satu kerusi melalui PKR dan kehilangan dua kerusi tradisinya, sementara DAP tewas di semua lapan kerusi ditandingi, selain calon tunggal Amanah yang turut tewas. Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail kemudiannya mendedahkan bahawa analisis terperinci keputusan pilihan raya itu menyerlahkan kecenderungan kuat pengundi terhadap parti-parti tempatan. Pada April tahun lepas, bekas ketua menteri Salleh Said Keruak berkata, Sabah tidak boleh mengikut jejak Sarawak dalam menolak parti-parti nasional. Beliau menegaskan, kestabilan dibina melalui kerjasama antara Barisan Nasional, PH dan parti-parti tempatan.

Share this post:
Perlu perubahan dasar signifikan untuk parti tempatan kuasai PRN | TheMalaysiaTime