Perlu pemantau bebas elak skandal dadah di Puspen berulang, kata pakar
2026-03-02 - 01:23
Seramai 47 penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik di Kedah yang positif dadah dilaporkan terima bekalan daripada pegawai pusat berkenaan. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Sebuah badan bebas perlu menjalankan audit dan pemeriksaan berkala di pusat pemulihan dadah milik kerajaan, kata seorang ahli kriminologi susulan kes kakitangan di sebuah pusat pemulihan di Kedah membekalkan methamphetamine kepada 47 penghuni. P Sundramoorthy dari Universiti Sains Malaysia berkata tanggungjawab terhadap keselamatan, rawatan dan pemantauan pentadbiran sering diberikan kepada jabatan berasingan, sekali gus mewujudkan jurang yang menyebabkan sebarang salah laku sukar dikesan. Katanya, badan pemantau bebas akan mewujudkan satu lapisan akauntabiliti tambahan, sekali gus mengurangkan kemungkinan salah lalu kakitangan dilindungi oleh hierarki atau budaya organisasi. Minggu lalu, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berkata kakitangan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) membekalkan dadah kepada 47 klien. Suruhanjaya itu mengesyorkan laporan polis dibuat. Pensyarah kanan di Enforcement, Leadership, and Management University, Shankar Durairaja berkata insiden itu menunjukkan kegagalan sistemik dari segi keselamatan dan pengawasan, atau tadbir urus serta integriti. Katanya, wujudnya aktiviti bekalan dadah yang berterusan dalam fasiliti itu membuktikan adanya penyelarasan, peluang berulang dan akses berpanjangan. Shankar menggesa kawalan dan keupayaan pengesanan dipertingkat, serta membina semula budaya organisasi yang berteraskan etika dan tanggungjawab. Beliau juga mencadangkan penggunaan pasukan pemeriksaan terlatih dan teknologi seperti pengimbas dadah serta analitik CCTV di pintu masuk dan dalam fasiliti bagi mengurangkan peluang bahan terlarang diseludup. “Walaupun ada kakitangan yang mungkin tidak sedar, cuai atau sengaja menutup mata, insiden ini mencerminkan defisit tadbir urus yang ketara dari segi budaya pelaporan, audit dalaman dan penguatkuasaan SOP,” katanya.