Perkembangan pesat China dikatakan antara punca lebihan pembuatan
2026-03-24 - 00:50
Lonjakan eksport keluli dari China menyumbang kepada meningkatnya tekanan harga kompetitif di banyak wilayah. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Perkembangan pesat sektor keluli China salah satu punca lebihan pembuatan yang membawa kepada siasatan oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS), menurut persatuan industri keluli Malaysia. Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia (Misif) menyatakan eksport keluli dari China berjumlah 119 juta tan tahun lepas, tertinggi sejak 2015. “Lonjakan ini menyumbang kepada meningkatnya tekanan harga kompetitif di banyak wilayah, termasuk Asia Tenggara,” kata Presiden Roshan M Abdullah kepada FMT. Roshan berkata eksport keluli Malaysia ke AS ‘agak sederhana’. Menurutnya, kenaikan kadar tarif AS daripada 25% kepada 50% pada Jun 2025 menjejaskan daya saing eksport keluli Malaysia ke pasaran AS. Selain itu, kemerosotan ekonomi dan campur tangan kerajaan juga boleh menyumbang kepada ketidakseimbangan perdagangan dalam industri keluli, kata Roshan. Kerajaan AS melancarkan siasatan terhadap Malaysia dan 14 negara lain berkaitan ‘lebihan struktural kapasiti dan pengeluaran’ dalam sektor pembuatan. Selain keluli, Washington meneliti dakwaan lebihan kapasiti dalam sektor elektronik dan jentera, dengan tujuan untuk mengembalikan tarif yang sebelum ini dibatalkan oleh mahkamah AS. Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Johari Ghani, berkata Malaysia akan memberikan penjelasan kepada AS, menjelaskan lebihan kapasiti pengeluaran tidak bermakna sesebuah negara melakukan lambakan produk. Sementara itu, Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) berkata sebarang rujukan mengenai lebihan pembuatan dalam siasatan AS itu harus ditafsirkan dengan berhati-hati dalam kes Malaysia. Presiden Wong Siew Hai berkata industri semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia disepadukan ke dalam rantaian bekalan global, dengan pengeluaran dipacu oleh syarikat multinasional (MNC) yang memenuhi permintaan global, dan bukannya pengembangan kapasiti yang didorong kerajaan. Khusus dalam sektor E&E, Wong berkata, beban pembuatan bagi kebanyakan MNC dirancang secara berpusat di ibu pejabat masing-masing berdasarkan permintaan atau pesanan. “Pada peringkat ini, tiada bukti jelas bahawa sektor semikonduktor Malaysia mempunyai lebihan struktural kapasiti,” katanya. Wong menambah siasatan AS akan mewujudkan sedikit ketidaktentuan bagi pengeksport. Misif dan MSIA menyeru agar Malaysia mengadakan libat urus secara membina dengan pihak berkuasa AS dan menyediakan maklumat telus mengenai pengeluaran, kapasiti, dan aliran perdagangan. “Kami percaya bahawa dialog berterusan dan ketelusan akan membantu memastikan industri keluli Malaysia diwakili secara adil dan tepat dalam sebarang proses semakan perdagangan,” kata Roshan. Sementara itu, Wong berkata industri semikonduktor mesti mengekalkan daya saing dan pematuhan pada piawaian perdagangan antarabangsa untuk melindungi kedudukan dalam rantaian bekalan global.