Perkasa masjid sebagai pusat pembangunan sahsiah, melahirkan ejen perpaduan
2026-03-15 - 09:34
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah di program Iftar Ramadan Madani, semalam. (Gambar Istana Arau) PETALING JAYA: Fungsi masjid harus diperkasakan secara konsisten sebagai pusat pembangunan sahsiah, bagi melahirkan generasi yang mampu menjadi ejen perpaduan dan kesejahteraan. Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, melihat institusi masjid berfungsi sebagai pusat pembangunan sahsiah, pembinaan kepimpinan serta penyemaian nilai-nilai murni dalam masyarakat, dan bukan sekadar tempat ibadah. Baginda menyambut baik inisiatif ‘Rakan Masjid’ yang dilaksanakan di peringkat pusat dalam usaha mendekatkan golongan belia dengan institusi masjid, mengatakan usaha tersebut amat penting dalam membimbing golongan belia. Katanya, masjid harus menjadi ruang mempererat persaudaraan, dan berharap ‘Rakan Masjid’ jika dapat dilaksanakan di Perlis akan melahirkan ejen perpaduan dan kesejahteraan. “Mudah-mudahan usaha-usaha seperti ini akan terus menyuburkan semangat kebersamaan, sekali gus memperkukuh kesatuan umat demi kesejahteraan masyarakat dan negara,” titahnya, dalam ucapan sempena program Iftar Ramadan Madani peringkat Perlis di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar semalam. Program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis itu menyantuni masyarakat, khususnya golongan asnaf dan agamawan. Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Raja Puan Muda, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut menyaksikan penyerahan peruntukan kerajaan persekutuan untuk elaun imam, bilal, siak, guru takmir dan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain bagi tahun ini, berjumlah RM17,193,470. Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank, Ahmad Shahriman Mohd Shariff, dan Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia Perlis dan Kedah, Ahmad Mujahid Abdullah, turut menyempurnakan penyerahan sumbangan bagi organisasi masing-masing.