TheMalaysiaTime

Perkasa dialog antara agama elak isu sensitif, kata mufti Wilayah Persekutuan

2026-03-07 - 01:24

Mufti Wilayah Persekutuan Fauwaz Fadzil berkata dialog adalah pendekatan terbaik untuk mempertahankan kesucian Islam tanpa jejas hubungan antara agama dalam kerangka negara berbilang bangsa. PETALING JAYA: Dialog antara agama perlu diperkasakan bagi mengelak isu sensisif yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk dalam negara. Mufti Wilayah Persekutuan, Fauwaz Fadzil, berkata pendekatan itu dan penerangan berterusan dapat membantu masyarakat pelbagai agama memahami batas serta sensitiviti masing-masing sekali gus mengelakkan salah faham. “Resipinya dialog dan semua mengikut perlembagaan dan (faham) Islam sebagai agama persekutuan. Penganut (lain) boleh boleh mempraktikkan agama mereka tanpa menyebarkan. Kalau semua orang faham perlembagaan, saya rasa tak ada masalah dalam konteks sosial kita. “(Kita perlu) menghormati semua agama, tapi tidak boleh menyebarkan (agama lain) dan menjadikan Islam sebagai agama teragung, saya rasa semua dah hidup aman. Kenapa kita nak wujudkan satu ketakutan dan kita (Islam) tak pernah mengancam mana-mana agama,” katanya dalam temu bual FMT. Beliau berkata, dialog adalah pendekatan terbaik untuk mempertahankan kesucian Islam tanpa menjejaskan hubungan antara agama dalam kerangka negara berbilang bangsa susulan beberapa kontroversi membabitkan agama baru-baru ini. Dalam pada itu, Fauwaz berkata pendekatan dakwah perlu diperkasakan dengan kaedah lebih kreatif bagi menyampaikan kefahaman mengenai Islam kepada masyarakat pelbagai kaum. Katanya, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan merancang melancarkan program ‘Kembara Mufti’ dalam bentuk animasi kartun yang akan disiarkan melalui Facebook dan YouTube dalam bahasa Melayu, Cina dan Tamil. Mengambil contoh di Eropah, katanya banyak orang yang permulaan mereka benci kepada Islam akhirnya memeluk agama itu. “Di samping kita ambil tindakan tegas, dakwah mesti kita sampaikan dalam pelbagai bentuk,” katanya. Sementara itu, Fauwaz menasihatkan umat Islam mengawal emosi dan tidak bertindak mengikut perasaan susulan kontroversi penuntut universiti memijak al-Quran pada 22 Feb lalu, yang kini sudah pun dituduh di mahkamah. Beliau menegaskan, perbuatan menghina al-Quran bukan sekadar isu individu, sebaliknya boleh memberi kesan besar terhadap keharmonian masyarakat majmuk kerana dalam Islam, menghormati perkara suci adalah adab asas yang tidak boleh dilanggar. Katanya, kes itu tidak wajar dijadikan medan spekulasi kerana masih terdapat percanggahan maklumat dan ia perlu disiasat secara adil oleh pihak berkuasa serta diputuskan mahkamah. “(Kawal emosi) dengan mengikut undang-undang dan menyerahkan kepada pihak berkuasa, itu caranya. “Kerajaan dan pihak berkuasa bijak menangani semua masalah...ini bukan masalah yang pertama, sudah ada sebelum ini yang menghina Rasulullah, kita dapat tangani dengan cara yang baik,” katanya.

Share this post: