‘Peritnya tiada damai’ luahan kecewa Radzi terhadap krisis Bersatu
2026-02-10 - 06:36
Naib presiden Bersatu, Radzi Jidin (kiri) berkata semua pihak perlu mengetepikan rasa tidak puas hati, di tengah-tengah perbalahan antara kumpulan yang menyokong Presiden parti Muhyiddin Yassin (dua kanan) dan timbalannya, Hamzah Zainudin (dua kiri). (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Naib Presiden Bersatu, Radzi Jidin meluahkan kekecewaannya dalam dalam sebuah puisi bertajuk ‘peritnya tiada damai’ yang berunsur kiasan dipercayai merujuk kepada perbalahan dalaman parti itu. Dalam hantaran di Facebook, Ahli Parlimen Putrajaya itu berkata semua pihak dalam parti perlu berusaha bersatu padu dan mengenepikan rasa tidak puas hati serta kata-kata nista sesama sendiri. Radzi juga berharap dua puak yang bertelagah, iaitu masing-masing yang menyokong Presiden parti Muhyiddin Yassin dan timbalannya, Hamzah Zainudin, kembali berdamai walaupun perbalahan semakin memuncak. “Biarpun suasana makin berhaba, mencari damai diterus jua, kerana disedari di luar sana, ramai mengharap kepada kita, demi agama, bangsa dan negara. “Bukannya mudah mencari damai, bila percaya mula terlerai, hilanglah sudah aman permai, ibarat berkas lidi terburai, patahnya mudah bila dikirai,” katanya. Kenyataan itu dibuat selepas seorang lagi Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee, secara terbuka menggesa Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai presiden parti. Kiandee, Ahli Parlimen Beluran enam penggal, menuduh Muhyiddin gagal mengurus krisis dalaman Bersatu dan mahu kekal berkuasa dengan harapan suatu hari nanti akan dilantik semula sebagai perdana menteri. Bersatu berdepan krisis dalaman selama berbulan-bulan susulan konflik kepimpinan antara Muhyiddin dan Hamzah, yang juga ketua pembangkang. Krisis itu membawa kepada desakan daripada kedua-dua puak supaya pemimpin masing-masing meletakkan jawatan, selain tindakan disiplin terhadap tiga Ahli Parlimen, termasuk Wan Saiful Wan Jan dan Saifuddin Abdullah, yang dipecat. Desakan agar Muhyiddin berundur sebagai presiden Bersatu semakin kuat susulan pertikaian dengan PAS mengenai jawatan pengerusi Perikatan Nasional, yang telah dilepaskannya pada 1 Jan.