Peristiwa Ming Court 1987 cetus perpecahan masyarakat Dayak, kata penganalisis
2026-03-26 - 23:40
Sebagai respons terhadap cubaan menyingkirkannya sebagai ketua menteri Sarawak pada 1987, Abdul Taib Mahmud berusaha pecahbelahkan masyarakat Dayak apabila beliau jadi ketua kerajaan. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Krisis politik Sarawak pada 1987, yang berpusat pada usaha menyingkirkan Abdul Taib Mahmud sebagai ketua menteri, menjadi titik tolak kepada perpecahan politik yang terus membelenggu masyarakat Dayak di negeri itu, menurut seorang penganalisis politik. James Chin daripada Universiti Tasmania berkata, Taib secara aktif berusaha memecahbelahkan masyarakat Dayak kepada ‘seberapa banyak parti yang mungkin’ selepas Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), yang ketika itu diketuai menteri persekutuan Leo Moggie, turut serta dalam usaha menyingkirkannya. “Mulai 1987, salah satu matlamat utama Taib adalah untuk memecahbelahkan kaum Dayak kepada sebanyak mungkin parti. Sejak itu, masyarakat Dayak tidak pernah lagi bersatu dari segi politik,” kata Chin kepada FMT. “Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), sebuah parti majoriti Dayak, merupakan parti induk kepada semua parti Dayak. Semua parti Dayak baharu selepas SNAP ditubuhkan oleh pemimpin-pemimpin SNAP,” katanya. Digelar Peristiwa Ming Court, krisis politik 1987 itu menyaksikan Taib terselamat daripada cubaan yang diketuai bekas ketua menteri Abdul Rahman Ya’kub, iaitu bapa saudara dan penyandangnya terdahulu yang juga menerajui Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, untuk menggulingkannya. Pada 9 Mac tahun tersebut, 27 Adun termasuk empat menteri dan tiga timbalan menteri menandatangani usul undi tidak percaya terhadap Taib. Taib bertindak balas dengan membubarkan DUN pada keesokan harinya untuk memberi laluan kepada pilihan raya kilat. Barisan Nasional pimpinan Taib menang 28 daripada 48 kerusi, membolehkannya bukan sahaja mengekalkan jawatan ketua menteri tetapi juga menyingkirkan semua penyokong Abdul Rahman dalam kerajaan. Taib terus mengekalkan kuasa sehingga 2014 apabila beliau meletak jawatan untuk mengambil alih tugas sebagai yang dipertua negeri. Namun, hubungan tegangnya dengan masyarakat Dayak bertambah buruk. Dalam kerajaannya, parti-parti Dayak hanya diberikan peranan kecil. Chin mengulas kenyataan Presiden Parti Bangsa Malaysia Larry Sng yang juga Ahli Parlimen Julau dalam sebuah episod audiosiar berhubung perpecahan politik dalam kalangan masyarakat Dayak. Dalam Tuak Talk, Sng memberi amaran bahawa komuniti itu berdepan risiko kehilangan pengaruh politik walaupun merupakan etnik majoriti di Sarawak, susulan kegagalan pemimpin mereka menerima perbezaan gaya politik dan kepimpinan. Beliau menggesa perubahan minda, dengan menyatakan ia bermula ‘dari hati’ dan melibatkan penyertaan pelbagai pihak, termasuk ‘yang tidak sehaluan dengan kita’. Masyarakat Dayak — kumpulan peribumi utama Sarawak yang secara umumnya merangkumi kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu — mewakili sekitar 40% daripada populasi negeri itu. Bukan masyarakat monolitik Arnold Puyok daripada Universiti Malaysia Sarawak berkata, tindakan menggerakkan sokongan politik berlandaskan etnik semata-mata adalah tidak memadai di Sarawak, memandangkan identiti etnik dan wilayah, personaliti serta politik naungan kesemuanya mempengaruhi sokongan pengundi. Beliau menegaskan bahawa seorang pengundi Iban, contohnya, tidak semestinya menyokong calon Iban atas dasar solidariti etnik semata-mata, kerana kesetiaan pada kawasan serta pertimbangan peribadi atau naungan selalunya membawa wajaran yang sama, atau mungkin lebih besar. “Keadaan ini diburukkan lagi dengan hakikat bahawa masyarakat Dayak itu sendiri bukanlah satu kelompok monolitik. Ia terdiri daripada pelbagai kumpulan subetnik, masing-masing dengan aspirasi tersendiri,” kata felo pelawat di Pusat Asia Tenggara Saw Swee Hock LSE itu. Chin dan Puyok masing-masing menyuarakan keraguan mengenai kemungkinan penyatuan kaum Dayak. Puyok berkata, ia mungkin tidak akan berlaku melainkan terdapat kebangkitan semula ‘Dayakisme’ yang sejati — kesedaran baharu tentang perkongsian identiti dan matlamat Dayak yang mampu meraih sokongan meluas merentasi pelbagai kumpulan subetnik. “Tanpa kuasa penyatuan itu, perpecahan struktur yang sekian lama melemahkan perwakilan politik Dayak agak sukar untuk diselesaikan,” tambahnya. Chin pula menambah bahawa kaum Dayak tidak mempunyai pemimpin politik kanan yang mampu meraih penghormatan daripada semua parti. “Masyarakat Dayak ada terlalu ramai ketua. Tidak cukup pahlawan, terlalu ramai jeneral, tetapi tidak cukup askar,” tambahnya.